Sebuah Konsol PC Mudah-Alih Dibangunkan Dengan Komponen Intel Dan NVIDIA Berkuasa

TechnologyGaming
12 Aug 2025 • 5:37 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Konsol PC mudah-alih bukanlah sebuah konsep yang baru. Jika anda seorang pengemar permainan komputer, tetapi mahukan sebuah konsol (bukan komputer riba) yang boleh menggerakkan permainan-permainan kegemaran anda, anda mempunyai banyak pilihan di luar sana.

Tetapi selalunya penawaran di pasaran ini hadir dengan kompromi tersendiri. Samada skrin terlalu kecil, atau komponen pemprosesan tidak cukup berkuasa, dan lain-lain lagi. Oleh kerana itu, seorang YouTuber, NITTRX telah membina konsol PC beliau sendiri.

image is not available

Bermula dengan pilihan CPU dan kad grafik, konsol ini dikuasakan oleh gabungan cip pemprosesan Intel Core i9-14900HX dan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4090 untuk komputer riba. Ia dipadankan dengan sebanyak 64GB memori LPDDR5 dan storan SSD PCIe 5.0 sebesar 2TB.

Konsol ini juga merumahkan sebuah paparan skrin IPS LCD bersaiz 12.5 inci dengan resolusi 4K yang digunakan pada sebuah komputer riba Dell Latitude 12 E7275.

image is not available

NITTRX juga telah memperlihatkan prestasi konsol ini, dan ia memperlihatkan permainan dengan keperluan prestasi grafik tinggi seperti Cyberpunk 2077 digerakkan pada resolusi 4K dengan kadar segar semula 60-70FPS, manakala permainan God of War digerakkan pada resolusi yang sama dengan kadar segar semula setinggi 100-120FPS.

Dari segi penyejukan pula, ia dilihat bahawa komponen-komponen ini mengekalkan suhu sekitar 70 darjah Celcius. Ia mungkin tidak begitu sejuk, tetapi untuk tahap prestasi yang diperlihatkan, ia jauh daripada had suhu 90-100 darjah Celcius kebanyakan komponen di pasaran sekarang.

Konsol ini dilihat hadir dengan prestasi sebuah komputer riba dengan kemampuan sebuah komputer riba gaming berprestasi tinggi, tetapi kos binaannya juga dilihat menghampiri, jika tidak menyamai sebuah komputer riba dengan spesifikasi yang dikatakan.