Secara Purata Rakyat Malaysia Lakukan 538 Transaksi Digital Sepanjang 2025

Business & FinanceDigital
3 Apr 2026 • 4:19 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

image is not available

Laporan Tahunan 2025 Bank Negara Malaysia (BNM) mendedahkan secara purata, setiap rakyat Malaysia telah melakukan 538 transaksi digital tahun lalu. Ia adalah peningkatan daripada purata 432 transaksi pada tahun 2024.

Pencapaian luar biasa ini menandakan bahawa Malaysia telah berjaya melepasi sasaran ekonomi digital yang ditetapkan dalam Pelan Sektor Kewangan 2022-2026. Berbanding sasaran pertumbuhan sekurang-kurangnya 15% untuk purata transaksi e-pembayaran per kapita, negara telah berjaya merekodkan pertumbuhan pada tahap 17%.

image is not available

Landskap kewangan digital negara terus berkembang pesat pada tahun 2025 apabila jumlah transaksi e-pembayaran melonjak sebanyak 25% mencapai angka 18.4 bilion berbanding 14.7 bilion pada tahun 2024.

Menurut BNM, lonjakan ini didorong oleh penerimaan dan penggunaan pembayaran digital yang berterusan dalam aktiviti ekonomi seharian. Pembayaran QR DuitNow mencatatkan peningkatan sekali ganda dengan 3 bilion transaksi tahun lalu berbanding 1.5 bilion transaksi tahun 2024.

Pada waktu yang sama populariti pembayaran secara digital menyebabkan pembayaran menggunakan cek merosot. Tahun 2025 hanya 31.4 juta cek telah dikeluarkan, 21.3% lebih rendah berbanding 40 juta cek yang dikeluarkan pada tahun 2024.