Sedia lebih banyak projek, perkasa transformasi digital industri pembinaan

LocalBusiness & Finance
3 Sep 2026 • 7:10 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Sedia lebih banyak projek, perkasa transformasi digital industri pembinaan

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa menyediakan peruntukan lebih besar dan membuka ruang kepada pelaksanaan lebih banyak projek bagi merancakkan aktiviti industri pembinaan negara menerusi Belanjawan 2027.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Sr. Ahmad Farrin Mokhtar berkata, peningkatan libat urus antara kerajaan dengan pemain industri ketika proses penyediaan belanjawan penting bagi memastikan keperluan sebenar sektor pembinaan dapat diberi perhatian.

“Input yang disampaikan industri menerusi sesi dialog bersama kementerian berkaitan perlu diterjemahkan kepada peruntukan dan inisiatif yang mampu membantu industri berdepan cabaran semasa.

“Kami berharap kita akan menerima lebih banyak bajet dan lebih banyak projek,” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi penerangan mengenai penganjuran Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) dan BuildXpo Malaysia 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) semalam.

Menurut beliau, antara perkara yang menjadi perhatian industri ialah kesan ketidaktentuan geopolitik terhadap rantaian bekalan serta peningkatan kos bahan binaan.

“Sebahagian bahan mentah, khususnya bahan berasaskan petroleum, masih terkesan oleh perkembangan harga global, manakala beberapa bahan lain pula dilihat lebih stabil.

“Industri telah membangkitkan perkara ini dalam dialog, termasuk bagaimana perkembangan geopolitik yang berlaku ketika ini memberi kesan kepada industri serta bagaimana kerajaan boleh membantu mengurangkan tekanan daripada peningkatan kos bahan,” katanya.

Dalam masa sama, Ahmad Farrin berkata, industri pembinaan perlu mempercepat penggunaan teknologi bagi menggantikan kebergantungan terhadap kira-kira 600,000 pekerja asing dalam sektor berkenaan.

“Sasaran mengurangkan pekerja asing sebanyak 10 peratus setiap tahun bermakna kira-kira 60,000 pekerja perlu dikurangkan daripada sektor pembinaan setiap tahun.

“Persoalannya, bagaimana kita mengurangkan 60,000 pekerja setiap tahun? Kita tidak boleh hanya mengurangkannya tanpa meningkatkan produktiviti.
“Ia perlu dilakukan melalui teknologi. Itulah hala tuju yang perlu diambil oleh industri pembinaan,” katanya.

Menurut beliau, perkembangan teknologi perlu bergerak seiring dengan usaha kerajaan mengurangkan kebergantungan sektor pembinaan terhadap tenaga kerja asing.

“Penerapan teknologi digital, automasi dan robotik perlu dilihat sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang bagi memastikan sektor pembinaan kekal produktif serta berdaya saing.

“Dalam era digitalisasi, mesin bukan sekadar mengambil alih pekerjaan. Ia menggabungkan cara kita bekerja, meningkatkan produktiviti dan menjadikan kita lebih efisien.

“Transformasi teknologi dalam sektor pembinaan turut memerlukan perubahan perspektif dalam kalangan pemain industri terhadap penggunaan mesin dan robot,” katanya. – UTUSAN

The post Sedia lebih banyak projek, perkasa transformasi digital industri pembinaan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved