
PETALING JAYA: Kerajaan perlu menyediakan panduan persediaan minimum 72 jam kepada isi rumah bagi menghadapi kemungkinan gangguan bekalan elektrik, capaian internet atau sistem pembayaran digital akibat serangan siber berskala besar.
Penyelidik Utama Centre for Cybersecurity and Data Intelligence (CCDI), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof. Madya Ts. Dr. Zubaile Abdullah berkata, panduan itu wajar dimasukkan dalam perancangan kesiapsiagaan bencana negara supaya rakyat tahu cara mengurus keperluan harian sementara perkhidmatan dipulihkan.
“Dalam tempoh awal sesuatu bencana, perkhidmatan asas, komunikasi, pengangkutan dan rangkaian bekalan mungkin terganggu.
“Bantuan atau pemulihan perkhidmatan juga mungkin memerlukan masa, bergantung kepada jenis dan tahap bencana,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada 4 November lalu, Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) menaikkan tahap ancaman keselamatan siber negara daripada rendah kepada sederhana.
Majlis Keselamatan Negara (MKN) memaklumkan langkah berjaga-jaga itu diambil bagi melindungi perkhidmatan penting negara daripada kemungkinan gangguan.
Mengulas lanjut, Zubaile berkata, tempoh tiga hari itu ialah asas persediaan awal supaya isi rumah dapat memenuhi keperluan harian dan mempunyai cara lain untuk berhubung sekiranya perkhidmatan yang biasa digunakan terganggu.
Katanya, antara persediaan yang dicadangkan ialah bekalan air dan makanan tahan lama untuk tiga hari, ubat-ubatan penting, wang tunai dalam jumlah munasabah, lampu suluh, pengecas mudah alih dan radio berkuasa bateri.
Beliau berkata, isi rumah juga boleh menyimpan nombor telefon penting dan maklumat perubatan secara bertulis serta menetapkan lokasi pertemuan ahli keluarga sekiranya rangkaian telefon tidak berfungsi.
Menurut beliau, kesedaran rakyat mengenai penipuan dalam talian dan kebocoran data semakin meningkat, namun persediaan menghadapi gangguan digital berskala besar masih belum mencukupi, terutama apabila urusan harian bergantung pada pembayaran digital.
“Tetapi kalau esok sistem pembayaran digital tidak dapat digunakan, bagaimana kita hendak membeli makanan, mengisi minyak atau mendapatkan barangan keperluan?
“Saya rasa inilah jurang yang paling ketara. Kita banyak mendidik masyarakat tentang cara melindungi akaun dan data daripada serangan siber, tetapi belum cukup memberi pendedahan tentang apa yang perlu dilakukan apabila teknologi yang digunakan setiap hari tiba-tiba tidak berfungsi,” katanya.
Beliau berkata, panduan itu juga perlu menjelaskan cara orang ramai mendapatkan maklumat sahih ketika gangguan bagi mengelakkan panik dan mengurangkan risiko penipuan susulan, termasuk menerusi mesej palsu mengenai akaun bank.
“Kalau Internet tidak berfungsi, pengumuman melalui media sosial sahaja sudah tentu tidak mencukupi. Kita perlu ada saluran komunikasi alternatif seperti radio dan mekanisme penyampaian maklumat di peringkat komuniti,” katanya.
Zubaile berkata, serangan siber juga boleh menyasarkan teknologi operasi (OT) yang mengawal peralatan fizikal seperti pam dan mesin, sekali gus berpotensi menjejaskan operasi loji rawatan air, pengagihan elektrik atau kemudahan kesihatan.
Katanya, gangguan elektrik yang berpanjangan, misalnya, boleh menjejaskan rangkaian telekomunikasi apabila bekalan kuasa sokongan tidak lagi mencukupi.
“Gangguan pada rangkaian itu pula boleh menyebabkan sebahagian transaksi perbankan dan pembayaran digital tidak dapat dilakukan.
“Jadi kita bukan bercakap tentang satu sistem yang gagal sahaja, tetapi kemungkinan berlakunya kesan berantai kepada beberapa perkhidmatan penting,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, panduan kepada rakyat perlu diselaraskan dengan pelan kesinambungan perkhidmatan pengendali infrastruktur kritikal.
“Sekiranya ada prosedur alternatif, ia perlu diuji dari semasa ke semasa dan bukan hanya didokumenkan untuk memenuhi keperluan audit atau pematuhan,” katanya. – UTUSAN
The post Sedia panduan 72 jam hadapi gangguan siber appeared first on Utusan Malaysia.




