Thailand nasihat penduduk sedia ‘beg kecemasan’

4 Nov 2026 • 4:15 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Thailand nasihat penduduk sedia ‘beg kecemasan’

BANGKOK – Jabatan Pencegahan dan Pengurangan Bencana (DDPM) Thailand menasihati setiap isi rumah agar menyediakan beg kecemasan yang mengandungi bekalan keperluan asas yang mencukupi untuk menampung keperluan diri selama 72 jam semasa bencana atau kecemasan lain, lapor saluran berita The Nation.

Ketua Pengarah DDPM, Nirat Pongsitthaworn, berkata nasihat tersebut merupakan sebahagian daripada kempen berterusan jabatan itu untuk mengurangkan risiko bencana dan memupuk kesiapsiagaan tanpa menimbulkan rasa panik.

Nirat menyatakan bahawa beberapa buah negara telah menasihati penduduk mereka untuk menyimpan bekalan makanan, ubat-ubatan, dan keperluan lain selama tiga hari susulan konflik di Asia Barat. 

Walaupun Thailand tidak termasuk dalam senarai negara yang dinasihatkan untuk bersiap sedia secara khusus bagi situasi tersebut, beliau menjelaskan bahawa beg kecemasan tetap menjadi langkah berjaga-jaga asas untuk pelbagai jenis kecemasan.

DDPM menyifatkan tempoh 72 jam sebagai penanda aras antarabangsa bagi kesiapsiagaan kecemasan. 

Jabatan tersebut memaklumkan bahawa tiga hari pertama selepas bencana berlaku merupakan tempoh kritikal apabila setiap isi rumah mungkin perlu berdikari sementara agensi kerajaan menyusun dan mengagihkan bantuan.

Menurut DDPM, bekalan air, makanan, dan peralatan yang mencukupi dapat membantu keluarga memenuhi keperluan asas mereka sementara menunggu bantuan tiba. 

Beg kecemasan boleh dimanfaatkan semasa banjir kilat, limpahan air deras dari kawasan tanah tinggi, tanah runtuh, gempa bumi, dan penularan wabak penyakit, serta kebakaran, rusuhan, sabotaj, dan kecemasan lain.

“Setiap isi rumah harus memiliki beg kecemasan supaya jika berlaku kecemasan, sama ada bencana alam, perang siber, atau konflik antarabangsa, mereka boleh membawanya serta-merta apabila berpindah dari kawasan yang berisiko,” kata Nirat. – AGENSI

 

The post Thailand nasihat penduduk sedia ‘beg kecemasan’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved