
PETALING JAYA: Kestabilan dan keselamatan aplikasi navigasi TuJu perlu dibuktikan menerusi ujian penggunaan sebenar sebelum diperluas kepada penjawat awam, terutama bagi urusan rasmi kerajaan yang melibatkan data dan maklumat sensitif.
Penyelidik Kanan Centre for Cybersecurity and Data Intelligence (CCDI), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof. Dr. Zubaile Abdullah berkata, ujian penggunaan sebenar dan ujian beban penting bagi menilai keupayaan sistem berfungsi dengan stabil, termasuk ketika menerima penggunaan tinggi.
Menurut beliau, masalah seperti ketidaktepatan laluan, kelemahan carian lokasi dan gangguan ketika navigasi perlu diberi perhatian supaya penambahbaikan yang dilaksanakan benar-benar menyelesaikan masalah pengguna.
“Masalah seperti ketidaktepatan laluan, kelemahan carian lokasi dan gangguan ketika navigasi perlu diberi perhatian supaya penambahbaikan yang dilaksanakan benar-benar menyelesaikan masalah pengguna,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, media melaporkan aplikasi navigasi TuJu menerima kritikan pengguna susulan pelbagai masalah, termasuk ketidaktepatan laluan, kelemahan fungsi carian lokasi dan gangguan ketika navigasi.
Rata-rata pengguna meluahkan rasa tidak puas hati terhadap prestasi aplikasi itu di media sosial, selain mempersoalkan kebolehpercayaannya berbanding aplikasi sedia ada seperti Waze dan Google Maps.
Dalam pada itu, Zubaile berkata, kerajaan wajar menyediakan alternatif navigasi yang telah dinilai dari segi keselamatan dan fungsi sementara penambahbaikan dilakukan terhadap TuJu.
“Kerajaan sepatutnya menyediakan beberapa pilihan navigasi yang telah dinilai dari segi keselamatan dan fungsi, sementara TuJu ditambah baik,” katanya.
Beliau berkata, aplikasi navigasi yang digunakan bagi urusan rasmi kerajaan juga perlu menjalani penilaian keselamatan siber bagi mengelakkan risiko pendedahan data lokasi dan maklumat sensitif kepada pihak tidak bertanggungjawab.
“Setiap aplikasi, walaupun dibangunkan oleh bakat tempatan, jika digunakan bagi tujuan rasmi yang melibatkan pemindahan data, pendedahan lokasi dan maklumat-maklumat sensitif, mesti melalui pengujian atau verifikasi keselamatan,” katanya.
Menurut beliau, penilaian itu boleh dilakukan menerusi perkhidmatan verifikasi yang disediakan CyberSecurity Malaysia bagi memastikan aplikasi berkenaan memenuhi keperluan keselamatan sebelum digunakan untuk urusan rasmi.
Katanya, status sebagai aplikasi tempatan tidak seharusnya menjadi ukuran tunggal dalam menentukan keselamatan sesuatu sistem, khususnya apabila penggunaannya membabitkan maklumat sensitif kerajaan.
“Untuk aplikasi yang digunakan secara rasmi, perlulah dibangunkan oleh syarikat yang sekurang-kurangnya memiliki pensijilan ISO/IEC 27001,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan juga tidak seharusnya bergantung pada satu aplikasi navigasi sahaja sekiranya terdapat alternatif lain yang memenuhi keperluan keselamatan dan operasi.
“Aplikasi navigasi tempatan seperti PINTAZ boleh dipertimbangkan, namun setiap aplikasi perlu melalui penilaian sewajarnya sebelum digunakan bagi urusan rasmi yang melibatkan data dan maklumat sensitif,” katanya. – UTUSAN
The post TuJu perlu lepasi ujian penggunaan sebenar appeared first on Utusan Malaysia.






