
Kota Kinabalu: Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin menggesa Kabinet Sabah menyegerakan proses mewujudkan pusat perlindungan sementara bagi kanak-kanak tanpa kerakyatan yang dilihat mengemis di jalanan di sekitar pusat Bandaraya.
Semasa persidangan Dewan Undangan Negeri pada November tahun lalu, Kerajaan Negeri telah mengumumkan bahawa RM250,000 akan diperuntukkan untuk mengubah suai sebuah rumah kerajaan yang tidak digunakan di sini bagi menangani masalah itu.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Mohd Noor berkata kanak-kanak tanpa kerakyatan itu akan ditempatkan di pusat perlindungan sementara selama maksimum tiga bulan dan menyertai program khas untuk mempelajari asas pengurusan diri dan kemahiran hidup bermasyarakat.
