Segmen industri diramal pacu keuntungan Sime Darby pada FY25, kata HLIB

LocalBusiness & Finance
28 May 2025 • 12:10 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Segmen industri diramal pacu keuntungan Sime Darby pada FY25, kata HLIB

image is not available

28/05/2025 - 12:10

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 28 Mei — Sime Darby Bhd dijangka terus meraih keuntungan daripada segmen industrinya, disokong permintaan berterusan daripada pelanggan perlombongan di Australia bagi tahun kewangan 2025 (FY25).

Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) Research berkata, saham tersebut turut menawarkan hasil dividen menarik antara 6.4% hingga 7% bagi unjuran FY25 hingga FY27.

"Kami mengekalkan saranan "beli", namun menurunkan harga sasaran (TP) kepada RM2.12 berbanding RM2.36, berdasarkan diskaun 20% tidak berubah terhadap penilaian jumlah bahagian (SOP) RM2.65," katanya dalam satu nota kajian.

HLIB Research turut menyemak turun unjuran pendapatan Sime Darby sebanyak 14.8% bagi FY25, 7.6% (FY26), dan 2.8% (FY27) bagi mencerminkan margin lebih rendah dalam segmen industri dan automotif.

Firma penyelidikan itu berkata, keuntungan teras suku ketiga Sime Darby RM225 juta dan keuntungan kumulatif sembilan bulan RM883 juta adalah di bawah jangkaannya dan pasaran, disebabkan prestasi lemah kedua-dua segmen utama tersebut.

Segmen itu mencatat rekod baharu buku pesanan tertinggi RM4.8 bilion, dengan 54.9% daripadanya disumbang oleh pasaran Australia, khususnya sektor perlombongan susulan harga bahan mentah yang menguntungkan.

Segmen automotif pula dijangka disokong oleh prestasi kukuh pasaran Singapura berikutan peningkatan kuota sijil kelayakan (COE) serta permintaan tinggi terhadap kenderaan elektrik (EV), namun pasaran lain dijangka kekal lemah.

Menurut HLIB Resarch, pihak pengurusan akan terus memberi tumpuan kepada pengoptimuman kos, penggunaan fasiliti, dan penyatuan rangkaian strategik di China.

Mengenai UMW Holdings Bhd, firma itu berkata, kelestarian disokong prestasi kukuh rakan usaha sama Perodua dan segmen peralatan.

"Segmen pembuatan dan kejuruteraan (M&E) terkesan akibat gangguan rantaian bekalan aeroangkasa serta pelarasan harga pelincir.

"Bagaimanapun, segmen aeroangkasa dijangka pulih pada suku akan datang berikutan pemulihan rantaian bekalan," katanya.

Perodua menyasarkan jualan 345,000 unit bagi FY25 dengan jumlah tempahan tertunggak 97,000 unit ketika ini.

Sementara itu, Public Investment Bank Bhd (PublicInvest) berkata, prospek Sime Darby kekal tidak menentu susulan persekitaran perniagaan mencabar di kebanyakan pasaran, terutamanya China.

Firma itu menjangka pasaran automotif Malaysia akan kembali normal pada 2025 selepas mencatat prestasi tinggi 2024.

Permintaan dijangka perlahan secara berperingkat berikutan penyusutan tempahan tertunggak, pelaksanaan subsidi bersasar RON95, dan pengenalan cukai barangan bernilai tinggi.

PublicInvest turut menyatakan prestasi kewangan Sime Darby tidak mencapai jangkaan, hanya memenuhi 58.3% daripada unjuran dalaman dan 54.6% daripada unjuran konsensus setahun penuh.

Firma penyelidikan itu menurunkan unjuran pendapatan FY25 hingga FY27 sebanyak 10% hingga 15% dengan mengambil kira hasil dan margin operasi lebih rendah.- DagangNews.com

standard