hamden20/11/2026 - 17:39 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 20 Nov - Ibraco Bhd mencatatkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak 15.5% kepada RM15.3 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026 (3QFY26), berbanding RM13.2 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Dalam kenyataan hari ini kumpulan pembinaan dari Sarawak itu berkata, peningkatan itu dicapai meskipun margin keuntungan kasar kumpulan menyusut, disokong perbelanjaan cukai pendapatan dan pentadbiran yang lebih rendah serta sumbangan pendapatan lain yang lebih tinggi.
Hasil kumpulan turut meningkat 6.6% kepada RM215.7 juta berbanding RM202.3 juta pada 3QFY25, dipacu prestasi lebih kukuh segmen Pembinaan yang terus mendapat manfaat daripada kemajuan projek infrastruktur di Sarawak.
Segmen Pembinaan merekodkan peningkatan hasil 20.7% kepada RM125.6 juta daripada RM104.1 juta, sekali gus menyumbang 58.2% kepada jumlah hasil kumpulan.
Sementara itu, segmen Pembangunan Hartanah yang merupakan penyumbang hasil kedua terbesar mencatatkan hasil RM66.4 juta berbanding RM86.2 juta pada suku sama tahun sebelumnya.
Segmen Pembuatan pula mencatatkan pertumbuhan hasil 159.7% kepada RM13.1 juta, manakala Operasi Kuari meningkat 85.9% kepada RM8.1 juta.
Segmen Lain-lain yang merangkumi pegangan hartanah, pengurusan dan operasi kelab menyumbang RM2.5 juta kepada hasil kumpulan.
Bagaimanapun, keuntungan kasar Ibraco menyusut kepada RM44.4 juta berbanding RM47.1 juta pada 3QFY25, manakala margin keuntungan kasar berkurangan kepada 20.6% daripada 23.3%.
Menurut kumpulan itu, penyederhanaan margin berkenaan disebabkan perubahan campuran hasil yang lebih memihak kepada segmen Pembinaan, yang secara umumnya menawarkan margin lebih rendah.
Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Chew Chiaw Han berkata, segmen Pembinaan menerajui pertumbuhan kumpulan pada suku berkenaan susulan kemajuan berterusan projek infrastruktur, selain peningkatan keuntungan bersih keseluruhan walaupun berdepan campuran margin lebih rendah.
Keuntungan sembilan bulan susut susulan ketiadaan pampasan sekali sahaja
Bagi tempoh sembilan bulan pertama FY26 (9MFY26), hasil Ibraco menyusut 6.8% kepada RM540.1 juta berbanding RM579.3 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Penurunan itu terutama disebabkan hasil segmen Pembinaan yang lebih rendah kepada RM254.4 juta daripada RM317.5 juta pada 9MFY25.
Bagaimanapun, kesan itu sebahagiannya diimbangi peningkatan 2.2% hasil segmen Pembangunan Hartanah kepada RM231.8 juta berbanding RM226.9 juta, selain hasil segmen Pembuatan yang meningkat lebih dua kali ganda kepada RM29.4 juta daripada RM12.4 juta.
Keuntungan kasar bagi tempoh itu meningkat 2.4% kepada RM124.6 juta berbanding RM121.7 juta, manakala margin keuntungan kasar bertambah baik kepada 23.1% daripada 21%.
Bagaimanapun, keuntungan bersih kumpulan menyusut kepada RM43 juta berbanding RM57.3 juta pada 9MFY25.
Ibraco menjelaskan keuntungan bersih bagi tempoh sama tahun sebelumnya merangkumi pampasan sekali sahaja susulan pengambilan tanah oleh Kerajaan di bawah Kanun Tanah sedia ada, yang tidak diterima dalam 9MFY26.
Prospek
Mengulas prospek, Chew berkata Ibraco menjangkakan sumbangan hasil yang lebih seimbang daripada segmen Pembinaan dan Pembangunan Hartanah.
Kumpulan juga kekal berhati-hati tetapi optimis terhadap prospek bagi suku keempat FY26, disokong jangkaan kemajuan projek pembangunan yang sedang dilaksanakan.
Bagaimanapun, permintaan pembeli yang lebih lemah berpotensi memperlahankan jualan baharu, manakala peningkatan kos bahan pembinaan boleh memberi tekanan kepada margin.
Ibraco akan terus memantau keadaan pasaran hartanah, kos bahan pembinaan dan kemajuan projek sedia ada, selain memberi tumpuan kepada usaha mendapatkan peluang perniagaan baharu di Malaysia Timur dan Barat. - DagangNews.com






