Segmen perniagaan rumusan semikonduktor berpotensi jadi pemacu utama Mi Technovation pada 2027-2028, kata PublicInvest

TechnologyBusiness & Finance
8 Oct 2025 • 10:39 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Segmen perniagaan rumusan semikonduktor berpotensi jadi pemacu utama Mi Technovation pada 2027-2028, kata PublicInvest

image is not available

08/10/2025 - 10:39

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Okt - Segmen perniagaan rumusan semikonduktor (SSBU) berpotensi menjadi pemacu pertumbuhan utama Mi Technovation Berhad pada 2027-2028, kata Public Investment Bank (PublicInvest).

Katanya, segmen tu akan menggabungkan model kuasa, kad pemacu dan pengurusan haba dalam satu rumusan bersepadu dengan menyasarkan perniagaan kenderaan komersial di luar China.

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu juga merancang menubuhkan unit perniagaan baharu daripada SSBU menjelang 2028.

"Perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) sumber terbuka mempercepatkan pembangunan peranti pintar dan boleh pakai, sekali gus meningkatkan keperluan terhadap cip lanjutan yang memerlukan pembungkusan kompleks di peringkat akhir.

"Ketika cip lanjutan kini merangkumi kira-kira 20% jualan global semikonduktor, Mi Technovation berada dalam kedudukan yang terbaik untuk menguasai kedua-dua pasaran pembungkusan lanjutan, menjadikan syarikat ini penerima manfaat utama dalam kitaran teknologi seterusnya," katanya dalam satu nota kajian.

PublicInvest berkata, Mi Technovation kini mendominasi lebih 70% pasaran global bagi mesin penyusun cip dalam kalangan pelanggan tier-1 ujian semikonduktor berkontrak (OSAT), menerusi siri utama MI Series.

Katanya, keupayaan itu disokong 126 paten teknologi (dengan tambahan 76 lagi dalam proses kelulusan) selain mesin mereka menawarkan kadar pengeluaran sehingga 50,000 unit sejam (UPH) dan kadar hasil yang lebih tinggi berbanding pesaing utama.

Pengurusan menjangka kitaran pertumbuhan luar biasa bagi pembungkusan lanjutan pada 2026–2027, dipacu oleh penggunaan AI, memori jalur lebar tinggi (HBM) dan komputer berprestasi tinggi (HPC) di peringkat global.

Firma penyelidikan itu berkata, pihak pengurusan Mi Technovation menjangkakan suku ketiga 2025 (3Q25) bakal mencatat prestasi rekod baharu, manakala suku keempat berpotensi lebih tinggi hasil peningkatan jualan bahan.

"Pada masa ini, saham Mi Technovation diniagakan pada 27 kali unjuran keuntungan FY25 PER, lebih rendah berbanding purata 33 kali bagi rakan setara domestik dalam segmen peralatan ujian automatik (ATE) — menjadikannya masih di bawah penilaian walaupun memiliki kedudukan global dan keuntungan tertinggi dalam sejarah syarikat," katanya.

PublicInvest mengekalkan saranan "outperform" dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi iaitu RM3.50 berbanding RM2.76 sesaham. - DagangNews.com

standard