Kekurangan bekalan dalam pasaran, Texchem berpotensi raih manfaat daripada segmen HDD - RHB Research

25/09/2025 - 10:12
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 25 Sept - Texchem Resources Berhad berpotensi meraih manfaat daripada kekurangan bekalan dalam pasaran cakera keras (HDD) disebabkan peningkatan permintaan penyimpanan berkaitan kecerdasan buatan (AI) serta kapasiti pengeluaran yang terhad.
RHB Research berkata, bahagian kejuruteraan polimer syarikat, yang menyumbang 21% daripada hasil dan 99% daripada keuntungan kumpulan pada tahun kewangan 2024 (FY24), dijangka menjadi penerima manfaat utama daripada perkembangan ini.
Katanya, segmen itu membekalkan sebahagian besar pembungkusan plastik kepada pelanggan HDD global.
"Kekurangan bekalan dalam pasaran kini menjadi faktor utama kenaikan permintaan, sekali gus memberikan peluang kepada Texchem untuk meningkatkan jualan.
"Selain HDD, bahagian kejuruteraan polimer turut melihat peningkatan permintaan daripada sektor semikonduktor, selain potensi aplikasi dalam bidang perubatan dan sains hayat.
"Pelaksanaan projek dengan margin tinggi dan perancangan projek baharu dijangka meningkatkan keuntungan bahagian HDD serta memperkukuh daya tahan operasi,” katanya dalam satu nota kajian.
Sementara itu, firma penyelidikan itu berkata, bahagian lain dalam kumpulan diramal kekal berdepan cabaran termasuk segmen makanan yang masih menanggung kesan daripada ketidaktentuan politik dan kawalan tukaran asing di Myanmar.
Katanya, segmen segmen industri berhadapan persaingan harga dari China, namun, Texchem percaya inisiatif kecekapan operasi serta rancangan peluasan di restoran mampu menstabilkan prestasi keseluruhan.
RHB Research melihat penilaian semasa Texchem masih belum mencerminkan sepenuhnya cabaran dalam segmen HDD, terutamanya apabila rakan industrinya menikmati penarafan semula berikutan kekangan bekalan.
"Kami mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM1.37 sesaham," katanya.- DagangNews.com
standard
