Kelapa berpotensi jadi pemacu utama keuntungan jangka panjang IOI Corp - Phillip Capital

10/09/2025 - 10:14
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 10 Sept - Tanaman kelapa berpotensi menjadi pemacu utama keuntungan jangka panjang IOI Corp Berhad walaupun segmen pembuatan berasaskan sumber (RBM) terus berdepan tekanan margin, kata Phillip Capital.
Katanya, strategi penanaman kelapa itu kekal sebagai usaha mempelbagaikan pendapatan kumpulan.
Firma penyelidikan itu berkata, sehingga kini kumpulan sudah menggunakan kawasan seluas 3,800 hektar untuk tujuan itu dan menyasarkan penggunaan kawasan seluas 5,000 hektar menjelang FY27.
"Kelapa dijangka memberi keuntungan dua kali ganda per hektar berbanding sawit, sekali gus meletakkan IOI sebagai antara pengeluar kelapa terbesar di Malaysia apabila mencapai tempoh matang," katanya dalam satu nota kajian.
Pada masa sama, Phllip Capital berkata, syarikat perladangan itu menjangkakan pengeluaran buah tandan segar (BTS) meningkat antara 5% hingga 10% pada FY26 disokong penjagaan estet yang lebih baik, peluasan mekanisasi, program baja di Indonesia serta sumbangan daripada pokok muda yang mula matang.
Katanya, peningkatan produktiviti tenaga kerja, dengan nisbah tanah kepada pekerja kini pada 10.3 hektar seorang pekerja di Semenanjung Malaysia, 7.5 hektar di Sabah dan 7 hektar di Indonesia — semakin hampir dengan sasaran masing-masing.
"Kos pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) kekal stabil pada RM2,032 satu tan, manakala kos BTS dijangka berkurangan pada FY26 daripada RM308 bagi setiap tan pada FY25 hasil peningkatan pengeluaran.
"Pengeluaran BTS dijangka meningkat daripada 2.84 juta tan pada FY25 kepada 3.15 juta tan pada FY28, bersamaan kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) sebanyak 4%," katanya.
Firma penyelidikan itu berkata, walaupun prospek segmen huluan lebih positif, segmen RBM masih membebankan prestasi kumpulan dengan bahagian itu mencatat kerugian RM43.5 juta pada suku keempat FY25 (tidak termasuk pelarasan derivatif), dipengaruhi margin yang lemah dalam penapisan dan oleokimia.
Katanya, persaingan berterusan daripada syarikat penapisan Indonesia yang menikmati kos bahan mentah lebih murah telah melemahkan daya saing harga dan menangguhkan pemulihan margin.
"Kami mengekalkan saranan "pegang" dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM3.84 sesaham," katanya. - DagangNews.com
standard

