
KUALA TERENGGANU – Ratusan peniaga dan pengunjung festival makanan di sekitar Dataran Jambatan Angkat Kuala Terengganu dan Dataran Paya Bunga berdepan detik cemas apabila tapak perniagaan tersebut tiba-tiba dilanda ribut pada malam tadi.
Kejadian pada pukul 9 malam itu menyebabkan bukan sahaja urus niaga terencat malah merosakkan peralatan dan jualan peniaga terutama makanan.
Salah seorang peniaga terlibat, Nur Afiqah Nabihah Afandi, 28, berkata, dia terpaksa memaut kuat kanopinya selama lebih sejam bagi mengelakkannya diterbangkan angin kencang.
“Ribut berlaku tiba-tiba sedang cuaca sebelum itu terutama sebelah petang amat cerah. Saya terpaksa memaut kuat kanopi bagi mengelakkannya diterbangkan angin seperti peniaga-peniaga lain berhampiran,” katanya di sini, hari ini.
Nur Atiqah berkata, dia akhirnya menyerah menutup operasi awal sejam kemudian kerana tiada tanda angin kencang reda malah kudratnya juga sudah semakin berkurangan.
Katanya, sebahagian makanannya juga rosak ditimpa hujan dan diterbangkan angin menyebabkannya segera berkemas pulang awal biarpun jualan pada masa itu hanya berjumlah RM5. – KOSMO! ONLINE
The post Sejam berpaut pada kanopi akibat ribut appeared first on Kosmo Digital.






