
PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain menuntut usaha berganda daripada anak-anak buahnya berdepan Selangor dalam aksi kedua Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam ini.
Beliau berkata, kemenangan 3-0 ke atas Melaka FC pada aksi pembukaan di laman sendiri tidak boleh membuatkan mereka terlalu selesa memandangkan skuad The Red Giant antara pasukan kuat dan pencabar utama dalam saingan musim ini.
“Kita perlu memastikan persiapan pasukan berada pada tahap terbaik kerana aksi seperti ini memerlukan fokus yang lebih daripada biasa. Pemain-pemain saya juga perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan sepanjang perlawanan,” katanya ketika ditemui di Kuala Nerus semalam.
Menurut beliau, barisan kejurulatihan TFC sedang menguji beberapa kombinasi pemain bagi mendapatkan gandingan paling sesuai menghadapi kekuatan Selangor nanti.
“Kita akan lihat beberapa kombinasi yang boleh digunakan dan pemain yang benar-benar sesuai untuk perlawanan tersebut. Mungkin akan ada sedikit perubahan daripada aksi sebelum ini kerana kita perlu menilai kekuatan lawan dan keadaan pemain sebelum membuat keputusan akhir,” katanya.
Nafuzi berkata, perubahan dalam kesebelasan utama itu perlu memandangkan setiap lawan mempunyai kekuatan dan corak permainan berbeza selain memaklumkan pemain naturalisasi, Romel Morales berkemungkinan sudah boleh menyertai pasukan bagi menentang Selangor.
The post Liga Super: Selangor ujian sebenar Nafuzi appeared first on Kosmo Digital.






.jpg)