Sejarah baru, solat sunat Aidilfitri ‘first time’ dekat R&R Seremban

19 Mar 2026 • 7:20 PM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

image is not available

SEREMBAN – Satu lagi detik bersejarah tercipta dalam landskap lebuh raya negara apabila solat sunat Aidilfitri buat pertama kalinya akan diadakan di kawasan hentian lebuh raya, iaitu di R&R Seremban (arah selatan).

PLUS Malaysia Berhad dalam satu kenyataan memaklumkan, penganjuran tersebut telah mendapat kebenaran rasmi daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

Menurut PLUS, inisiatif berkenaan dilaksanakan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi menyediakan kemudahan kerohanian kepada pengguna lebuh raya yang sedang dalam perjalanan pulang ke kampung halaman.

“Ini merupakan penganjuran pertama seumpamanya di mana-mana lebuh raya di Malaysia, sekali gus mencipta sejarah baharu selepas surau di R&R ini menjadi yang pertama menganjurkan solat Jumaat tahun lalu,” menurut kenyataan itu.

Tambah PLUS, pemilihan lokasi tersebut dibuat berdasarkan kedudukannya yang strategik sebagai hentian utama dengan aliran trafik tinggi ke arah selatan, khususnya bagi pengguna menuju ke Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Selain itu, Surau MADANI di R&R berkenaan dipilih kerana mempunyai kapasiti besar serta kemudahan lengkap dan selesa bagi menampung kehadiran jemaah dalam jumlah yang ramai.

“Susun atur kawasan rehat serta kapasiti parkir yang mencukupi turut membantu memastikan kelancaran pergerakan pengguna tanpa menjejaskan aliran trafik utama lebuh raya,” jelasnya.

Solat sunat Aidilfitri itu dijadualkan berlangsung pada 1 Syawal jam 8.30 pagi, tertakluk kepada pengumuman rasmi tarikh perayaan.

Menurut PLUS lagi, inisiatif ini turut mengambil kira keperluan pekerja serta pengguna lebuh raya yang masih dalam perjalanan, agar mereka dapat menunaikan ibadah tanpa perlu keluar dari lebuh raya.

Dalam masa sama, PLUS berharap langkah ini dapat mengurangkan tekanan dan kesuntukan masa dalam kalangan pengguna pada pagi Aidilfitri, selain memberi peluang kepada mereka berhenti seketika untuk beribadah dalam suasana lebih tenang dan teratur.

Sehubungan itu, pengguna lebuh raya diingatkan supaya sentiasa mengutamakan keselamatan, mematuhi peraturan lalu lintas serta mengamalkan sikap sabar dan bertimbang rasa sepanjang perjalanan. – MYBERITA