Raya 2026: Kenapa Jadi ‘Teka-Teki’? Ini Penjelasan Ringkas & Padat

LocalLifestyle
19 Mar 2026 • 5:48 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

KUALA LUMPUR – Setiap tahun, penentuan tarikh Hari Raya Aidilfitri sentiasa dinantikan rakyat Malaysia. Namun, bagi tahun 2026, suasananya sedikit berbeza apabila timbul persoalan dan perbincangan hangat mengenai kemungkinan dua tarikh berbeza untuk sambutan raya.

Menerusi satu perkongsian di Threads oleh Dr Arif Hakimi (@dr.arifhakimi), beliau tampil memberi penjelasan panjang lebar susulan persoalan ramai mengenai tarikh Hari Raya Aidilfitri tahun 2026.

Ramai mula tertanya-tanya, kenapa tahun ini seolah-olah ada “teka-teki” sama ada kita akan menyambut raya pada hari Jumaat (20 Mac) atau Sabtu (21 Mac)? Sedangkan sebelum ini, situasi sebegini jarang berlaku.

Jom kita fahamkan.

Apa Itu Imkanur Rukyah?

Malaysia bersama negara MABIMS (Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura) menggunakan satu kaedah dikenali sebagai Imkanur Rukyah.

Secara mudah, ia bermaksud kaedah penentuan berdasarkan kebolehnampakan anak bulan (hilal), bukan sekadar kiraan semata-mata tetapi turut melibatkan cerapan sebenar di lapangan.

image is not available

Untuk menentukan masuknya 1 Syawal, dua syarat teknikal perlu dipenuhi serentak ketika matahari terbenam pada 29 Ramadan, iaitu altitud hilal melebihi 3° dan elongasi melebihi 6.4°. Altitud merujuk kepada ketinggian anak bulan dari ufuk, di mana jika terlalu rendah, cahaya senja boleh ‘menenggelamkannya’. Manakala elongasi pula ialah jarak sudut antara bulan dan matahari, di mana semakin besar jaraknya, semakin jelas bentuk sabit dan lebih mudah dilihat.

Kenapa 2026 Jadi ‘Ngam-Ngam’?

Berdasarkan data astronomi (hisab) bagi petang Khamis, 19 Mac 2026, kedudukan anak bulan dilihat sangat hampir dengan had minimum yang ditetapkan.

image is not available

Sebagai contoh di Menara 188 Kuantan, altitud direkodkan sekitar 2.12° manakala elongasi pula sekitar 5.09°, iaitu kedua-duanya sedikit di bawah kriteria rasmi. Secara kiraan, keadaan ini menunjukkan kemungkinan besar Hari Raya jatuh pada hari Sabtu.

Tapi Kenapa Masih Ada Peluang Raya Jumaat?

Perkara ini berlaku kerana Malaysia tidak bergantung kepada hisab semata-mata. Sebaliknya, cerapan rasmi tetap dijalankan di 29 lokasi di seluruh negara bagi melihat anak bulan secara fizikal.

Ini bermaksud, walaupun data menunjukkan kriteria tidak dipenuhi, jika terdapat saksi yang sah berjaya melihat anak bulan di mana-mana lokasi cerapan dan pengesahan dibuat, maka keputusan boleh berubah. Dalam situasi itu, seluruh negara boleh menyambut Hari Raya pada hari Jumaat.

Keputusan muktamad pula terletak pada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Secara teknikal, kebarangkalian untuk Hari Raya jatuh pada hari Sabtu adalah lebih tinggi. Namun dalam kaedah Imkanur Rukyah, kemungkinan untuk menyambut lebih awal tetap wujud sekiranya terdapat laporan penampakan yang sah.

Pendek kata, semuanya bergantung kepada hasil cerapan dan pengumuman rasmi.

Reaksi Netizen Yang Pelbagai

Dalam masa yang sama, ruangan komen turut dibanjiri pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya berkongsi pengalaman serta pandangan masing-masing mengenai situasi ini. Ada yang mengimbau kembali kejadian raya mengejut pada tahun 2022 apabila hilal dilaporkan kelihatan hanya di satu lokasi iaitu di Labuan, namun seluruh negara tetap menyambut Hari Raya pada hari yang sama.

Sebahagian netizen turut mengakui detik tersebut masih segar dalam ingatan kerana pengumuman dibuat secara tiba-tiba, menyebabkan ramai yang kelam-kabut membuat persiapan akhir seperti membeli barang dapur, menyiapkan juadah raya dan pulang ke kampung.

Tidak kurang juga yang mengambil peluang ini untuk bertanya dan memahami dengan lebih mendalam mengenai kaedah penentuan tarikh raya di Malaysia, selain menghargai penjelasan yang diberikan kerana disampaikan dengan cara yang mudah difahami.

Ada juga yang berseloroh “debaran raya tahun ni lain macam”, manakala sebahagian lagi memilih untuk bersikap santai dan menyerahkan sepenuhnya kepada pengumuman rasmi seperti kebiasaan.

Walau apa pun keputusannya nanti, yang penting kita bersedia dari awal dan terus raikan dengan penuh kesyukuran. Raya cepat atau lambat, suasana tetap sama, yang dinanti ialah momen bersama keluarga dan orang tersayang. – The Malaysian Update

The post Raya 2026: Kenapa Jadi ‘Teka-Teki’? Ini Penjelasan Ringkas & Padat appeared first on The Malaysian Update.

View Original Article