PLUS anjur solat Aidilfitri di R&R Seremban arah selatan

19 Mar 2026 • 4:11 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
PLUS buat julung kalinya menganjurkan solat sunat Aidilfitri di R&R Seremban arah selatan

PETALING JAYA – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan menganjurkan solat sunat Aidilfitri di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban (arah selatan) menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

PLUS memaklumkan bahawa inisiatif itu adalah kali pertama diadakan setelah mendapat kebenaran rasmi daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

Menurutnya, penganjuran itu bertujuan menyediakan kemudahan kerohanian kepada pengguna lebuh raya serta petugas di kawasan hentian berkenaan yang bertugas ketika Aidilfitri.

“Pemilihan R&R Seremban dibuat kerana kedudukannya yang strategik sebagai antara hentian utama dengan aliran trafik tinggi ke arah selatan, khususnya bagi pengguna yang pulang ke kampung di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

“Surau Madani dipilih kerana kapasiti yang besar serta kemudahan lengkap bagi menampung jumlah jemaah yang ramai, selain susun atur kawasan rehat dan kapasiti parkir yang mencukupi bagi memastikan kelancaran pergerakan pengguna,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Solat sunat Aidilfitri dijadualkan berlangsung pada 1 Syawal, jam 8.30 pagi, tertakluk kepada pengumuman rasmi.

Tambah PLUS, inisiatif itu diharapkan dapat mengurangkan tekanan dan kesuntukan masa pengguna lebuh raya pada pagi Aidilfitri.

“Ia juga membolehkan mereka berhenti seketika untuk beribadah dalam suasana tenang, selesa dan teratur sebelum meneruskan perjalanan.

“Pengguna lebuh raya diingatkan supaya sentiasa mengutamakan keselamatan, mematuhi peraturan lalu lintas serta mengamalkan sikap sabar dan bertimbang rasa semasa memandu,” katanya lagi.

PLUS berkata, pengguna juga disarankan merancang perjalanan lebih awal dan memanfaatkan jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA melalui aplikasi PLUS berikutan jangkaan peningkatan trafik sehingga 2.3 juta kenderaan pada hari puncak musim perayaan.