Sejarah Tercipta! Gunung Kinabalu Jadi Lokasi Penanda Arah Kiblat Tertinggi Di Malaysia

28 Oct 2025 • 10:30 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu

Siapa yang tidak kenal dengan Gunung Kinabalu yang terletak di Ranau, Sabah?

Gunung yang tertinggi di Malaysia ini sememangnya sering mendapat perhatian pelancong setiap kali berkunjung ke negeri bawah bayu itu.

Malah, ia sering menjadi pilihan utama geng pendaki atau hikers yang ingin menguji ketahanan diri di samping melihat keindahan alam semulajadi dari puncak gunung tersebut.

Gunung Kinabalu Jadi Lokasi Penanda Arah Kiblat Tertinggi Di Malaysia

Terbaharu, Gunung Kinabalu sekali lagi mencipta sejarah apabila monumen penanda arah kiblat yang terletak pada Kilometer 8 (KM8) diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai penanda arah kiblat tertinggi di Malaysia.

Pengiktirafan tersebut disampaikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dalam Majlis Pengiktirafan MBOR bagi Monumen Penanda Arah Kiblat Tertinggi di Malaysia yang berlangsung semalam (27 Oktober).

image is not available
Foto: Jabatan Ketua Menteri

Pengiktirafan Sebagai Simbol Semangat & Keimanan Umat Islam

Jelas Hajiji, beliau menyifatkan pengiktirafan tersebut bukan hanya sekadar pencapaian fizikal.

Namun ia dilihat sebagai simbol kekuatan semangat, keilmuan dan keimanan umat Islam di Sabah yang berjaya menggabungkan ilmu falak, teknologi serta ketahanan fizikal dalam satu projek unik dan bermakna.

“Monumen ini berdiri megah di puncak tertinggi Malaysia, menjadi lambang keutuhan akidah dan syiar Islam yang menjulang tinggi. Ia bukan hanya rekod dalam buku, tetapi pengiktirafan terhadap usaha dakwah, ilmu dan inovasi,” katanya dalam satu siaran media.

Bantu Pendaki Tentukan Arah Kiblat Di Altitud Tinggi

Tambah beliau lagi, pemasangan monumen kiblat tersebut amat signifikan kerana membantu pendaki beragama Islam untuk menentukan arah kiblat dengan tepat ketika mahu menunaikan solat di altitud tinggi.

Keadaan ini sekaligus dapat menyelesaikan cabaran beribadah di kawasan yang ekstrim.

“Pendakian Gunung Kinabalu kini semakin popular dalam kalangan rakyat tempatan dan antarabangsa.

“Bagi pendaki Muslim, penentuan arah kiblat sering menjadi cabaran. Usaha ini amat tepat pada masanya, memberikan kemudahan dan keyakinan kepada mereka untuk menunaikan solat dengan sempurna,” terangnya lagi.

Pelbagai Agensi Terlibat, Pemasangan Pada Ketinggian 3,930.4 Meter Dari Paras Laut

Kongsi Hajiji lagi, monumen tersebut dipasang pada ketinggian 3,930.4 meter dari aras laut yang terletak pada KM8 gunung terbabit.

Malah, pelbagai agensi terlibat dalam projek yang dilaksanakan beberapa fasa bermula dengan tinjauan awal dan penentuan arah kiblat mengikut kaedah falak oleh Pejabat Mufti Sabah.

Manakala, kerja-kerja pengukuran pula dilakukan oleh Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).

Bukan itu sahaja, agensi lain yang turut terlibat dalam pembinaan monumen ini adalah seperti:

  • Taman-Taman Sabah (TTS)
  • Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
  • Pejabat Ketua Menteri
  • Polis Diraja Malaysia (PDRM)
  • Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM)
  • Radio Televisyen Malaysia (RTM)
  • Pejabat Daerah Ranau
  • Pasukan Gerakan Udara (PGU)
  • Bahagian Istiadat dan Protokol

“Gunung Kinabalu kini bukan sekadar destinasi pendakian fizikal, tetapi juga destinasi spiritual dan ilmiah yang mengangkat keagungan ciptaan ALLAH SWT,” katanya lagi.

image is not available
Foto: Ketua Menteri Sabah

Monumen Penanda Arah Kiblat Perkukuh Kedudukan Sabah Sebagai Destinasi Mesra Umat Islam

Tambah beliau, kewujudan monumen tersebut bukan hanya dilihat memperkukuh kedudukan Sabah sebagai destinasi pelancongan halal dan mesra umat Islam.

Malah, ia juga dilihat memperkasakan penghayatan ilmu falak dalam kalangan masyarakat.

“Pelancong Islam kini lebih yakin menunaikan solat di puncak tertinggi Malaysia. Ini menjadikan Sabah peneraju pelancongan halal, sekali gus membuktikan sains dan agama boleh bergerak seiring dalam suasana aman dan harmoni,” terangnya lagi.

Hajiji juga yakin pendekatan sebegini boleh dijadikan sebagai rujukan sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa dalam usaha untuk menggabungkan pembangunan fizikal dan rohani secara seimbang.

Bukan itu sahaja, pengiktirafan ini dilihat dapat menjadi inspirasi kepada anak muda bahawa kejayaan boleh dicapai dengan ilmu, semangat serta kerjasama.

“Monumen ini bukan sahaja menandakan arah kiblat, tetapi juga arah kemajuan negeri Sabah. Ia simbol penyepaduan antara pembangunan fizikal dan rohani,” katanya lagi.

Source: