
PETALING JAYA: Ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 hari ini disifatkan sebagai ‘pengisytiharan perang politik’ yang cukup berani, khususnya menerusi isyarat jelas mengenai bentuk penyatuan politik yang sedang dibayangkan.
Ketua Penerangan Pas, Fadhli Shaari berkata, antara perkara penting yang dapat dirumuskan daripada ucapan bertajuk Melakar Masa Depan Bangsa itu ialah gagasan ‘Tafahum Siyasi’ atau persefahaman politik sebagai pendekatan dalam menentukan hala tuju UMNO.
“Datuk Seri Zahid menegaskan bahawa penyatuan hendaklah berlaku antara UMNO dan Pas, tanpa melibatkan pihak ketiga.
“Ini satu mesej politik yang sangat jelas tentang bentuk penyatuan yang sedang dibayangkan,” katanya dalam hantaran di media sosial hari ini.
Menurutnya, Ahmad Zahid turut menyindir kerajaan Pakatan Harapan (PH) apabila menyebut bahawa kerajaan bukan kerajaan yang berjanji ‘hari ini menang, esok semua masalah selesai’, selain mengemukakan idea ‘Kolaborasi Agung’ dengan mengajak mereka yang pernah meninggalkan UMNO supaya kembali bersama membina kekuatan parti.
Katanya, Presiden UMNO itu turut menegaskan UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu kembali menjadi induk kepada penyatuan bangsa, selain menyentuh soal pengkhianatan terhadap perjanjian politik apabila mendakwa yang dijanjikan ialah pembentukan ‘Kerajaan Perpaduan Nasional’, namun akhirnya yang diwujudkan ialah ‘Kerajaan Madani’.
“Paling menarik, tanpa segan silu Datuk Seri Zahid menyebut, ‘Cukuplah guru, berhentilah…’. Tidak perlu terlalu berselindung untuk membaca kepada siapa sindiran itu ditujukan,” katanya.
Dalam pada itu, Fadli melihat gagasan ‘Agenda Malaysia BIRU’ menuju 100 tahun kemerdekaan negara pada 2057 sebagai antara perkara penting dalam ucapan berkenaan.
Katanya, BIRU membawa maksud Berdaulat, Inovatif, Rakyat Makmur dan Unggul, selain dilihat sebagai mukadimah kepada satu kerangka pembangunan negara jangka panjang yang merangkumi beberapa siri Rancangan Malaysia sehingga 2057.
Jelasnya, Agenda Malaysia BIRU itu kemudiannya dicerakinkan melalui beberapa ikhtiar yang digariskan, menunjukkan ia cuba ditampilkan bukan sekadar slogan tetapi sebagai kerangka politik dan pentadbiran jangka panjang.
“Saya mendengar ucapan ini seperti ucapan pengisytiharan perang politik yang cukup berani oleh Presiden UMNO. Kebetulan tarikhnya pula cukup simbolik, genap 25 tahun selepas World Trade Center di Amerika Syarikat diserang pada 11 September 2001.
“Bezanya, 25 tahun lalu WTC di New York menjadi medan serangan fizikal. Hari ini WTC Kuala Lumpur menjadi pentas kepada satu serangan politik.
“Kepada siapa perang itu diisytiharkan? Itu yang menarik untuk diperhatikan selepas ini walaupun semua sudah dapat menekanya,” katanya. – UTUSAN
The post Ucapan Zahid ibarat pengisytiharan ‘perang politik’ sangat berani appeared first on Utusan Malaysia.





