KUALA LUMPUR - UMNO dan Pas perlu 'bersatu' semula dalam membentuk persefahaman politik serta bergerak sebagai satu keluarga besar.
Veteran UMNO, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah berkata, pihaknya melihat kehadiran empat pemimpin tertinggi Pas ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 itu sebagai titik tolak yang positif ke arah menuju penyatuan ummah.
"Saya rasa ia bagus (kehadiran pemimpin Pas ke PAU 2026), kita boleh bersatu semula. Insya-ALLAH berkat doa," kata Tengku Razaleigh atau Ku Li ketika ditemui pemberita di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini pada Jumaat.
Kemunculan pimpinan utama Pas di hari ketiga PAU 2026 mencuri perhatian ramai.
Antara pemimpin utama Pas yang hadir ialah Naib Presiden, Datuk Idris Ahmad; Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari.
Sementara itu, Ku Li yang juga bekas Ahli Parlimen Gua Musang meminta mantan pemimpin UMNO yang pernah keluar atau terasa hati dengan parti untuk kembali semula.
Beliau berpendapat bahawa UMNO mesti bergerak sebagai satu keluarga yang besar dalam memikul tanggungjawab demi memenuhi keperluan rakyat.
"Patut masuk balik, kita mengalu-alukan mereka ke dalam UMNO bagi membentuk satu keluarga yang besar.
"Ini kerana banyak tanggungjawab yang perlu dipikul dan memerlukan tenaga serta buah fikiran bagi membolehkan masalah diselesaikan oleh generasi muda," ujarnya lagi.






