Sebelum ini kami ada melaporkan bahawa Twitter mengalami kejatuhan dalam pendapatan kerana sejumlah pengiklan tidak lagi membeli iklan di platform media sosial tersebut. Terkini, Reuters telah melaporkan bahawa diantara pengiklan-pengiklan tersebut termasuklah Stellantis, Gilead dan anak syarikatnya Kite.
Pemilik Twitter, Elon Musk telah mengatakan bahawa ini adalah kerana pihak aktivis telah memaksa pengiklan untuk tidak memberi wang kepada Twitter selepas pengambilalihan oleh CEO Tesla dan SpaceX tersebut.
Twitter has had a massive drop in revenue, due to activist groups pressuring advertisers, even though nothing has changed with content moderation and we did everything we could to appease the activists.
Extremely messed up! They’re trying to destroy free speech in America.
Akan tetapi, pendedahan terbaru daripada Reuters ini memperlihatkan bahawa sebab mengapa syarikat-syarikat ini menghentikan iklan di platform tersebut pada masa ini adalah lebih kepada isu polisi syarikat tersebut, yang dijangka akan berubah dalam masa yang terdekat ini.
Syarikat-syarikat pengiklan secara lazimnya mementingkan polisi kandungan dan kemasyarakatan sesebuah platform media sosial sebelum memutuskan untuk membelanjakan wang iklan, yang dilihat boleh meningkat ke berjuta-juta dolar.
Elon Musk kini dilihat sedang mengimplimentasi sejumlah polisi baru, disamping memotong pekerjaan beratus-ratus pekerja mereka, dan ia tidak mengejutkan untuk melihat syarikat-syarikat pengiklanan untuk tunggu sehingga syarikat tersebut menjadi lebih stabil sebelum mereka kembali membelanjakan wang di syarikat tersebut.



