hamden18/11/2026 - 12:51 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 18 Nov - Sekatan baharu Amerika Syarikat (AS) terhadap cip kecerdasan buatan (AI) termaju berpotensi membuka peluang lebih besar kepada kontraktor pembinaan Malaysia untuk meraih kontrak pusat data (DC), khususnya daripada pengendali yang dimiliki syarikat AS.
Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, langkah sekatan itu dijangka membawa risiko terhad kepada kontraktor tempatan kerana kebanyakan pelanggan utama mereka dalam sektor DC merupakan syarikat AS yang dikecualikan daripada keperluan pelesenan import baharu.
Menurut firma penyelidikan itu, pelanggan berpangkalan di AS menyumbang 100% daripada baki buku pesanan DC Sunway Construction Group Bhd (SunCon) dan IJM Corporation Bhd (IJM), selain 95% bagi Gamuda Bhd.
"Justeru, risiko pembatalan kontrak pembinaan DC sedia ada dilihat rendah," katanya dalam nota penyelidikan.
AS pada 16 November lalu mengumumkan sekatan baharu bagi menghalang entiti di China dan negara lain yang ditetapkan daripada mengakses cip AI termaju keluaran negara itu secara jarak jauh menerusi pusat data di negara termasuk Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia dan Brazil.
Langkah itu turut memperkenalkan keperluan pelesenan bagi import cip AI termaju tertentu, namun syarikat yang beribu pejabat di AS atau mempunyai syarikat induk muktamad berpangkalan di negara itu dikecualikan.
Syarikat AS memperluaskan operasi
Maybank IB berkata, sekatan berkenaan berpotensi memberi lebih ruang kepada pengendali DC milik AS untuk mengembangkan operasi di Malaysia sekiranya pengendali milik China berdepan kesukaran meneruskan projek baharu.
Ini kerana pengendali DC dari AS dan China bersaing mendapatkan tanah, bekalan elektrik dan air, manakala pengendali milik China jarang memberikan kontrak pembinaan pusat data kepada kontraktor Malaysia.
"Jika sekatan baharu itu berjaya menghalang pengendali DC milik China daripada mengembangkan operasi di Malaysia, pengendali milik AS akan mempunyai lebih banyak ruang untuk berkembang," katanya.
Perkembangan itu juga berpotensi meningkatkan peluang kontraktor tempatan yang menyediakan perkhidmatan kepada pengendali DC milik AS, termasuk Gamuda, IJM dan SunCon, untuk memperoleh lebih banyak kontrak.
Sementara itu, bagi Binastra Corporation Bhd, Maybank IB berkata pelanggan utama syarikat itu dalam sektor DC, EXSIM yang beribu pejabat di Malaysia, berhasrat mematuhi keperluan pelesenan baharu dengan beralih kepada penyewa yang beribu pejabat di AS.
Susulan perkembangan itu, Maybank IB mengekalkan prospek positif terhadap sektor pembinaan Malaysia dengan SunCon kekal sebagai pilihan utama dan harga sasaran RM9.62.
Firma penyelidikan itu turut menaik taraf saranan terhadap IJM kepada 'beli' daripada 'pegang', dengan harga sasaran dikekalkan pada RM2.83.
Saranan 'beli' terhadap Gamuda dan Binastra juga dikekalkan, masing-masing dengan harga sasaran RM5.47 dan RM3.40. - DagangNews.com



