KUALA LUMPUR - Semua sekolah di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) ditutup sepenuhnya mulai hari ini sehingga tempoh yang dimaklumkan kelak susulan situasi jerebu ketika ini.
Jawi menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan semua sekolah itu, perlu melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi memastikan kelangsungan pembelajaran murid.
Sementara itu, guru dan anggota kumpulan pelaksana melaksanakan Bekerja Dari Rumah (BDR) sepanjang tempoh penutupan, tertakluk kepada arahan dan keperluan semasa.
"Sehubungan dengan itu, ibu bapa dan penjaga dimohon mengikuti perkembangan dan makluman rasmi daripada pihak Jawi dari semasa ke semasa, khususnya berkaitan tarikh pembukaan semula Institusi Pendidikan Islam (IPI) Jawi,” menurut kenyataan itu. - Bernama





