Sekolah Runtuh Ketika Peperiksaan, Ragut 21 Nyawa

13 Jul 2024 • 12:02 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Sekolah Runtuh Ketika Peperiksaan, Ragut 21 Nyawa

Sebuah sekolah di Nigeria dilapor runtuh dan meragut sekurang-kurangnya 21 nyawa, termasuk murid yang sedang menduduki peperiksaan.

Kejadian tersebut berlaku pada Jumaat melibatkan sekolah Akademi Saint yang terletak di daerah Jos, utara negara itu.

Mangsa-mangsa yang terperangkap kedengaran meminta pertolongan manakala ibu bapa pelajar yang berada di lokasi kejadian mendesak anak mereka segera diselamatkan, lapor koresponden AFP di lokasi kejadian.

Menerusi gambar di tempat kejadian, pasukan penyelamat dilihat cuba mengeluarkan mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan menggunakan jentera.

Jurucakap Palang Merah, Nuruddeen Hussain Magaji berkata, sekurang-kurangnya 21 orang maut dan 69 lagi cedera. Mereka yang cedera telah dihantar untuk menerima rawatan di beberapa buah hospital.

Koresponden AFP di lokasi kejadian turut menyaksikan 16 mayat yang masih menyarung pakaian sekolah diletakkan di dua bilik mayat hospital di Jos.

Manakala 11 mayat dihantar ke bilik mayat di Hospital Pengajar Universiti Bingham dan lima lagi dibawa ke bilik mayat Hospital Our Lady of Apostles di Jos.

Sekolah runtuh, ragut nyawa murid duduki peperiksaan

Dalam pada itu, beberapa mangsa yang terselamat turut berkongsi detik-detik tragedi itu berlaku.

“Belum sampai lima minit saya masuk ke kelas, saya terdengar satu bunyi, kemudian saya dapati saya berada di sini.

“Ketika kejadian, ramai yang berada di dalam kelas, kami sedang menjawab peperiksaan,” kata seorang pelajar, Wulliya Ibrahim.

Seorang penduduk yang ditemui di tempat kejadian, Chika Obioha turut memberitahu AFP bahawa dia menyaksikan lapan mayat di lokasi runtuhan dengan berpuluh-puluh lagi tercedera.

“Orang awam segera menghulurkan bantuan supaya lebih ramai mangsa dapat diselamatkan dengan segera,” katanya.

Setakat ini, punca kejadian masih belum dapat dikenal pasti namun penduduk mendakwa kejadian berlaku selepas tiga hari hujan turun dengan lebat.

“Kami sedih dengan kehilangan tragis nyawa murid-murid yang masih muda di Akademi Saint ini.

“Kanak-kanak yang penuh dengan impian, sedang menduduki peperiksaan apabila bangunan sekolah itu runtuh. Ucapan takziah buat keluarga yang terlibat,” ucap wakil UNICEF Nigeria, Cristian Munduate.

Kejadian runtuhan bangunan merupakan kes yang biasa berlaku di negara dengan penduduk paling ramai di Afrika itu.

Antara puncanya adalah disebabkan penguatkuasaan piawaian pembinaan yang lemah, kecuaian dan penggunaan bahan binaan berkualiti rendah.

Sumber: AFP