“Dia hilang sudah” – Suami Luluh Hati, Isteri Maut Dihanyut Arus Deras Lepas Hantar Bantuan Mangsa Banjir

2 Jul 2024 • 11:22 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Banjir yang melanda daerah Penampang, Sabah pada hujung minggu lalu telah meragut nyawa pertama apabila seorang wanita ditemui meninggal dunia pada awal pagi Isnin.

Menurut laporan Sinar Harian, mangsa bernama Monica Ting Siew Kwong, 37, bersama suaminya ketika itu dipercayai baru sahaja menghantar bekalan makanan kepada mangsa banjir yang terperangkap di Pekan Donggonggon pada awal pagi Isnin.

Namun, ketika mereka dalam perjalanan pulang daripada lokasi tersebut dan cuba melalui kawasan ditenggelami banjir berhampiran Bulatan Sigah, Jalan Penampang Bypas mangsa dipercayai telah dihanyutkan arus deras.

Suaminya dikatakan turut cuba membantu dengan menarik tangan mangsa, namun usaha tersebut gagal.

image is not available

Menerusi sebuah video yang dimuat naik oleh Sabah Info, suami mangsa sempat menceritakan detik cemas dia bersama isteri yang hilang dibawa arus.

Dalam keadaan panik, dia memaklumkan isterinya telah hilang kira-kira 15 minit yang lalu kepada pasukan penyelamat.

“Tadi saya jalan kaki mahu keluar, saya tunggu uncle saya pick up, tapi air kuat saya terus lari sama bini.

“Tapi nasib saya boleh naik. Tapi bini saya lari sudah (dibawa arus). Dia hilang sudah. Cepat… minta tolong,” katanya dalam keadaan cemas.

Ketua Polis Penampang, Superintendan Sammy Newton, melaporkan bahawa mayat mangsa ditemui tersangkut di celah pokok berhampiran rumah penduduk di Kampung Hungab pada kira-kira pukul 8 pagi. Jasadnya ditemui kira-kira 500 meter dari lokasi dia dihanyutkan arus deras.

Rata-rata netizen berasa sayu dan mengucapkan terima kasih kepada mangsa korban kerana bergadai nyawa membantu mangsa banjir lain.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.