Sekolah Sukan Malaysia Perlis yang terbengkalai 13 tahun dijangka siap Januari 2027

3 Aug 2026 • 4:15 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Sekolah Sukan Malaysia Perlis yang terbengkalai 13 tahun dijangka siap Januari 2027

SHAH ALAM, 3 OGOS: Projek pembinaan Sekolah Sukan Malaysia Perlis di Bukit Chabang, Padang Besar yang terbengkalai sejak 13 tahun lalu dijangka siap pada Januari 2027, dengan kemajuan fasa pertama kini mencapai antara 85 hingga 90 peratus.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, keyakinan itu berdasarkan tinjauan beliau terhadap perkembangan projek berkenaan hari ini, lapor Berita Harian.

Menurut beliau, berdasarkan kemajuan semasa, kerja pembinaan fasa pertama berada pada landasan baik untuk disiapkan mengikut tempoh ditetapkan.

“Insya-Allah berdasarkan lawatan saya tadi, saya yakin kita boleh siapkan. Projek ini ada dua fasa dan fasa pertama boleh disiapkan pada Januari 2027.

“Secara keseluruhan, purata kemajuan penyiapan adalah antara 85 hingga 90 peratus. Sebelum ini terdapat beberapa isu lama termasuk kekurangan pekerja dan masalah kontraktor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Konvensyen Iltizam 2026 di Dewan Mua'dzam Shah, Universiti Utara Malaysia (UUM), hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Sementara itu, mengulas dakwaan mengenai penjawat awam yang berhasrat menyertai politik menjelang pilihan raya, Shamsul Azri menegaskan golongan itu tidak dibenarkan terbabit dalam sebarang aktiviti politik.

“Penjawat awam tidak boleh terbabit dengan politik. Setakat ini belum ada apa-apa (aduan) dan kita akan jawab apabila tiba masa menghampiri pilihan raya,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah memaklumkan projek Sekolah Sukan Malaysia Perlis yang terbengkalai sejak sekian lama dijangka siap pada Januari 2027, dengan kemajuan ketika itu sekitar 60 peratus.

Pada 27 April tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran di Facebook turut mengarahkan projek yang terbengkalai sejak 2013 itu diserahkan kepada syarikat kerajaan berkeupayaan bagi memastikan pembinaannya dapat disiapkan segera.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved