
KANGAR: Kejayaan sebenar sukan tidak hanya terletak pada pingat dimenangi, sebaliknya pada nilai-nilai diterapkan sukan tersebut.
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah, sukan mempunyai keupayaan unik untuk menyatukan masyarakat merentasi sempadan, budaya dan bahasa.
Baginda bertitah, sukan juga mengukuhkan persahabatan, persefahaman dan kerjasama dalam kalangan negara melalui penganjuran pertandingan.
“Sepanjang kejohanan ini, kita telah menyaksikan standard kesukanan, disiplin, integriti, kecekalan dan sikap saling menghormati yang tertinggi. Nilai-nilai ini mewakili warisan sebenar kejohanan ini,” titah baginda menyempurnakan Majlis Penutupan Piala Dunia Woodball ke-10 dan Kejohanan Woodball Terbuka Antarabangsa Malaysia ke-26 di Dewan 2020.
Berangkat sama, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil beserta Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail dan anakanda puteri, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, penganjuran kejohanan seumpama itu turut memberi sumbangan penting kepada sektor pelancongan, pertumbuhan ekonomi, pertukaran budaya dan meningkatkan kedudukan Perlis pada peringkat antarabangsa.
“Beta yakin pengalaman yang diperoleh daripada penganjuran kejohanan ini akan terus memperkukuh kebolehan kita untuk menganjurkan lebih banyak acara sukan bertaraf antarabangsa pada masa hadapan.
“Kepada semua delegasi dan atlet antarabangsa, terima kasih kerana memuliakan kami dengan kehadiran anda semua di Perlis.
“Beta berharap anda semua mempunyai pengalaman yang menyeronokkan dan pulang dengan kenangan baik terhadap kemesraan, keramahan dan kekayaan warisan budaya negeri kami,” titah baginda.
Pada dua kejohanan itu, Malaysia meraih tujuh pingat emas, 12 perak dan sembilan gangsa.-UTUSAN
The post Sukan menyatupadukan masyarakat rentas sempadan – Raja Perlis appeared first on Utusan Malaysia.






