IJM sasar kontrak baharu hingga RM8 bilion pada FY27, projek industri dan infrastruktur jadi taruhan - Penganalisis

LocalBusiness & Finance
13 Oct 2026 • 9:44 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

IJM sasar kontrak baharu hingga RM8 bilion pada FY27, projek industri dan infrastruktur jadi taruhan - Penganalisis Image from: IJM sasar kontrak baharu hingga RM8 bilion pada FY27, projek industri dan infrastruktur jadi taruhan - Penganalisis liza13/10/2026 - 09:44 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 13 Okt – IJM Corporation Berhad berpotensi meraih lebih banyak kontrak pembinaan menerusi projek perindustrian berteknologi tinggi dan infrastruktur, dengan sasaran kontrak baharu antara RM6 bilion hingga RM8 bilion bagi tahun kewangan 2027, menurut penganalisis.

 

Selain itu, IJM juga berpeluang meningkatkan buku tempahannya kepada RM15.7 bilion susulan kemenangan kontrak perindustrian terbaharu dengan saluran tender bernilai RM18 bilion yang membuka ruang kepada kumpulan pembinaan itu untuk meraih lebih banyak projek.

 

Dua firma penyelidikan iaitu RHB Research dan MBSB Research berpandangan projek perindustrian, khususnya kemudahan semikonduktor dan pusat data sebagai pemacu penting prospek IJM selain peluang mendapatkan projek infrastruktur baharu. 

 

Kedua-dua firma itu turut mengekalkan unjuran pendapatan masing-masing dan melihat kumpulan itu berada di landasan mencapai sasaran kontrak baharu RM6 bilion hingga RM8 bilion bagi tahun kewangan 2027 (FY2027).

 

RHB Research: Projek perindustrian sokong prospek kontrak

RHB Research menganggarkan IJM mempunyai baki buku tempahan bernilai RM10.6 bilion dengan kira-kira 55% hingga 60% daripadanya terdiri daripada projek di Malaysia. Firma itu menjangkakan projek berkaitan perindustrian, termasuk pusat data, menyumbang sekitar 60% hingga 70% daripada buku tempahan domestik kumpulan.

 

Menurut RHB Research, IJM telah memperoleh kontrak baharu bernilai kira-kira RM3 bilion sejak awal FY2027 sehingga kini, berbanding sasaran pengurusan sebanyak RM6 bilion hingga RM8 bilion bagi keseluruhan tahun kewangan itu.

 

Firma berkenaan menggunakan anggaran RM7 bilion sebagai sasaran kontrak baharu IJM dalam unjuran tahunannya.

 

“Kami menganggarkan nilai saluran tender IJM boleh mencecah RM16 bilion hingga RM17 bilion, tidak termasuk kontrak AT&S terbaharu dengan andaian tiada tender baharu diperoleh sejak akhir Ogos 2026.

 

“Anggaran itu mencerminkan peluang kontrak yang masih boleh diterokai kumpulan bagi menyokong pertumbuhan buku tempahannya,” kata RHB Research dalam nota kajiannya.

 

Saluran tender meliputi projek infrastruktur utama

Daripada keseluruhan saluran tender itu, projek perindustrian dan pusat data dianggarkan merangkumi kira-kira 40%, manakala selebihnya melibatkan peluang dalam sektor infrastruktur. Antara projek yang dikenal pasti ialah Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang bagi Pakej Pembinaan Utama 2 (CMC2), pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan fasa baharu Skim Bekalan Air Sungai Rasau.

 

RHB Research turut menganggarkan kontrak AT&S itu mencatatkan margin keuntungan sebelum cukai antara 5% hingga 8%. Projek berkenaan menggunakan komponen pratuang menerusi Sistem Binaan Berindustri (IBS), manakala tempoh pelaksanaannya selama 14 bulan bermula suku keempat 2026 menunjukkan keperluan pelaksanaan yang pantas.

 

ARTIKEL BERKAITAN: IJM Construction raih kontrak RM1.23 bilion bina kemudahan pembuatan di Kulim

 

Dari segi pemangkin pertumbuhan seterusnya, RHB Research melihat kejayaan IJM memperoleh projek infrastruktur baharu, khususnya LRT Pulau Pinang berpotensi menyokong penilaian kumpulan. Firma itu menyatakan IJM sudah agak lama tidak memperoleh kontrak projek rel, menjadikan kejayaan mendapatkan projek seumpamanya antara faktor yang boleh membuka ruang kepada penilaian semula kumpulan.

 

Bagaimanapun, RHB Research mengenal pasti kegagalan mendapatkan kontrak dalam tempoh yang dirancang sebagai risiko utama kepada prospek kumpulan. Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dan sasaran harga RM3.50, selain tidak mengubah unjuran pendapatannya susulan kontrak baharu yang diperoleh.

 

MBSB Research: Buku tempahan perindustrian terus meningkat

Sementara itu, MBSB Research menganggarkan IJM memperoleh kontrak perindustrianbernilai RM2.14 bilion sejak awal FY2027 sehingga kini. Jumlah itu merangkumi kontrak AT&S, projek gudang semikonduktor bernilai RM455 juta di Kulim dan kemudahan pembuatan peranti perubatan bernilai RM454.5 juta untuk Intuitive Surgical di Batu Kawan, Pulau Pinang.

 

MBSB Research berkata kontrak AT&S berpotensi meningkatkan buku tempahan kumpulan daripada RM14.5 bilion kepada RM15.7 bilion sebelum mengambil kira pelaksanaan dan pengebilan projek seterusnya. 

 

Firma itu turut menganggarkan bahagian kemudahan perindustrian maju dalam buku tempahan domestik IJM meningkat kepada 62% berbanding 55% sebelum ini.

 

Dari sudut pelaksanaan, MBSB Research menjangkakan projek AT&S mencapai margin keuntungan sebelum cukai dalam lingkungan panduan pengurusan sebanyak 6% hingga 9% bagi segmen pembinaan. Keupayaan dalaman IJM dalam kerja cerucuk dan pembuatan turut dilihat berpotensi membantu kawalan kos serta mempercepat pelaksanaan projek.

 

Sasaran kontrak baharu dan strategi merealisasikan nilai

MBSB Research menganggarkan kontrak baharu yang diperoleh IJM sejak awal FY2027 sehingga kini mencecah RM3.03 bilion, bersamaan 38% hingga 51% daripada sasaran pengurusan sebanyak RM6 bilion hingga RM8 bilion. 

 

“Dengan baki enam bulan sehingga Mac 2027 ketika laporan itu diterbitkan, kami berpandangan kumpulan masih berada di landasan untuk mencapai sasaran tersebut,” katanya.

 

Firma itu turut menilai saluran tender IJM bernilai RM18 bilion sebagai sumber peluang kontrak seterusnya. Kira-kira 40% daripadanya terdiri daripada projek perindustrian, termasuk kemudahan pusat data dan semikonduktor, manakala 30% hingga 40% melibatkan projek infrastruktur seperti LRT Pulau Pinang, pengembangan lapangan terbang dan projek bekalan air Sungai Rasau.

 

Selain prospek kontrak, MBSB Research menyorot strategi merealisasikan nilai kumpulan melalui tiga inisiatif utama, iaitu cadangan penyenaraian bahagian pembinaan IJM, pengewangan konsesi tol dan pengunduran secara berperingkat daripada operasi di India. IJM turut mengumumkan pelan pengagihan kepada pemegang saham bernilai RM3 bilion dalam tempoh tiga tahun, bersamaan kira-kira 83 sen sesaham dalam bentuk dividen terkumpul atau anggaran hasil sebanyak 40%.

 

MBSB Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap IJM dengan sasaran harga RM3.32 serta unjuran pendapatan FY2027 dan FY2028 yang sebahagian besarnya tidak berubah. Firma itu berpandangan penukaran tender kepada kontrak serta penambahan semula buku tempahan kumpulan kekal selari dengan jangkaannya, sekali gus memberikan keterlihatan pendapatan sehingga FY2028. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved