Sektor pembuatan Malaysia kembali berkembang, kenaikan kos pengeluaran berisiko tekan harga pengguna – S&P Global

LocalBusiness & Finance
2 Nov 2026 • 11:50 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sektor pembuatan Malaysia kembali berkembang, kenaikan kos pengeluaran berisiko tekan harga pengguna – S&P Global Image from: Sektor pembuatan Malaysia kembali berkembang, kenaikan kos pengeluaran berisiko tekan harga pengguna – S&P Global sarah02/11/2026 - 11:50 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 2 Nov - Sektor pembuatan Malaysia kembali mencatat pertumbuhan pada Oktober 2026, namun peningkatan kos pengangkutan dan bahan mentah yang dipindahkan kepada pembeli berpotensi mencetuskan tekanan kenaikan harga barangan pengguna dalam tempoh akan datang.

 

Menurut laporan terbaharu Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan Malaysia oleh S&P Global, kos input dan harga jualan pengilang meningkat pada kadar yang sama serta lebih pantas pada Oktober, dengan sebahagian kenaikan dikaitkan dengan konflik berterusan di Asia Barat.

 

Indeks PMI utama meningkat kepada 51.0 mata pada Oktober berbanding 49.9 mata pada September, sekali gus melepasi paras 50 mata yang memisahkan pengembangan dan penguncupan, serta mencatat prestasi paling kukuh sejak April.

 

Pesanan baharu pula meningkat pada antara kadar terpantas dalam tempoh empat setengah tahun, didorong permintaan eksport yang kukuh dan peningkatan tempahan daripada pelanggan domestik sedia ada.

 

Peningkatan permintaan itu mendorong pengilang menambah pengeluaran buat kali pertama dalam tempoh tiga bulan, selain meningkatkan jumlah pekerja bagi bulan ketiga berturut-turut.

 

Ahli Ekonomi S&P Global, Maryam Baluch berkata, pertumbuhan pesanan baharu turut disokong permintaan lebih tinggi terhadap produk berkaitan kecerdasan buatan (AI), sekali gus membantu memulihkan aktiviti pengeluaran.

 

Kos pengangkutan meningkat, kesesakan pelabuhan berterusan

Bagaimanapun, sektor pembuatan masih berdepan gangguan rantaian bekalan apabila tempoh penghantaran bahan input terus memanjang bagi bulan ke-11 berturut-turut, dengan kesesakan pelabuhan dikenal pasti sebagai antara punca utama kelewatan.

 

Walaupun kelewatan penghantaran berkurangan sedikit berbanding September, beberapa pengilang terpaksa menggunakan stok sedia ada bagi memenuhi peningkatan pesanan, menyebabkan inventori barangan siap menyusut untuk bulan keenam berturut-turut.

 

Keyakinan pengilang jatuh ke paras terendah sejak April

Di sebalik pemulihan pesanan dan pengeluaran, keyakinan perniagaan merosot ke paras terendah sejak April apabila pengilang terus bimbang terhadap peningkatan kos serta ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi global.

 

Maryam berkata, cabaran luaran kekal menjadi ancaman utama kepada daya tahan ekonomi semasa, manakala pemindahan kos pengeluaran kepada pembeli boleh memberi tekanan kepada harga di peringkat pengguna sekiranya kenaikan itu berterusan.

 

Laporan PMI berkenaan berdasarkan maklum balas pengurus pembelian daripada kira-kira 400 operasi pembuatan di Malaysia, dengan data dikumpulkan antara 12 hingga 26 Oktober 2026.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved