sarah02/11/2026 - 10:10 Gambar “Ilustrasi AI” Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 2 Nov - Harga purata rumah di Malaysia kini mencecah RM506,317, dengan Johor mencatatkan kenaikan harga tertinggi sebanyak 3.6% dalam kalangan negeri utama, ketika kos pembinaan yang semakin meningkat mendorong pemaju mengurangkan pelancaran kediaman baharu.
Menurut kumpulan teknologi hartanah Juwai IQI, harga rumah di Kuala Lumpur turut meningkat 2.7%, manakala Pulau Pinang mencatatkan kenaikan lebih perlahan sebanyak 0.2%, berdasarkan perkembangan pasaran hartanah pada suku kedua 2026.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, Indeks Harga Rumah Malaysia meningkat secara sederhana sebanyak 0.9% kepada 234.7 mata pada suku kedua tahun ini, sekali gus menunjukkan pasaran kediaman masih stabil tanpa tanda-tanda pembentukan gelembung hartanah.
"Kediaman bertingkat turut mencatatkan pertumbuhan harga tahunan sebanyak 0.9%, manakala keadaan pasaran yang stabil membantu mengurangkan risiko kenaikan kadar faedah dalam tempoh terdekat," katanya dalam kenyataan.
Kos pembinaan meningkat, pemaju kurangkan pelancaran rumah
Bagaimanapun, Kashif berkata, pemaju hartanah kini berdepan tekanan apabila kos pembinaan meningkat sekitar 13% secara purata antara Mac hingga Jun 2026, sebahagian besarnya berpunca daripada kenaikan harga bahan api.
"Keadaan itu menyaksikan pemaju mengurangkan pelancaran kediaman baharu sebanyak 25% kepada 27,832 unit pada separuh pertama 2026 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, sebagai langkah mengelakkan lebihan bekalan dalam pasaran," jelasnya.
Menurutnya, kos pembinaan yang meningkat lebih pantas berbanding harga jualan rumah memberi tekanan kepada pemaju, namun keadaan pasaran kediaman secara keseluruhan masih memihak kepada pembeli.
Beliau turut merujuk kepada satu tinjauan yang mendapati 56% rakyat Malaysia berhasrat membeli rumah dalam tempoh dua tahun akan datang, manakala bahagian responden yang bimbang mengenai kenaikan kadar faedah berkurangan hampir satu perlima.
OPR dijangka meningkat kepada 3.00% pada 2027
Dalam perkembangan berkaitan, Juwai IQI menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 2.75% dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari pada 5 November ini, sebelum berpotensi menaikkannya sebanyak 25 mata asas kepada 3.00% pada suku pertama 2027.
Kashif berkata, pertumbuhan ekonomi Malaysia yang lebih kukuh daripada jangkaan serta inflasi yang masih terkawal memberi ruang kepada BNM mengekalkan kadar faedah buat masa ini, dengan inflasi September menyederhana kepada 1.8% daripada 1.9% pada Ogos.
Bagaimanapun, beliau menjangkakan tekanan inflasi meningkat pada 2027 susulan kenaikan kos tenaga, makanan dan input ekonomi, dengan kadar inflasi berpotensi mencecah 2.8%, sekali gus meningkatkan kemungkinan pelarasan OPR.
Menurutnya, pasaran kewangan kini mengambil kira kebarangkalian sekitar 76% bahawa kadar faedah akan dinaikkan dalam tempoh enam bulan akan datang, namun subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter terus membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup dan menyokong pertumbuhan ekonomi tanpa lonjakan inflasi yang ketara.- DagangNews.com




