
SEKTOR perkhidmatan dijangka berkembang sebanyak 5.5 peratus pada 2026 dengan pertumbuhan dalam semua subsektor dengan diunjur berkembang sebanyak 5.3 peratus pada separuh kedua tahun ini, menurut Tinjauan Ekonomi 2027.
Menurutnya, pertumbuhan itu disokong pelbagai aktiviti berkaitan pelancongan sempena Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026-2027 (VM2026-2027), pengukuhan aliran perdagangan dan peningkatan kadar penerimagunaan digital.
“Sektor itu meningkat sebanyak 5.7 peratus pada separuh pertama 2026,” katanya.
Tinjauan itu berkata, subsektor perdagangan borong dan runcit pula dijangka berkembang sebanyak 4.6 peratus pada tahun ini.
Katanya, subsektor itu dijangka berkembang sebanyak 4.4 peratus pada separuh kedua tahun ini disokong oleh pertumbuhan dalam semua segmen, terutama perdagangan borong dan runcit, didorong oleh peningkatan perbelanjaan daripada pelbagai program bantuan kerajaan bersasar yang berterusan.
“Bantuan tersebut termasuk perluasan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) secara bulanan dengan penambahan peruntukan sebanyak 60 peratus kepada RM8 bilion berbanding RM5 bilion pada 2025 dan peningkatan penerima yang layak kepada 8.1 juta berbanding 5.4 juta pada 2025.
“Ia di samping bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan peluasan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) kepada 30,000 program pada 2026.
“Sementara itu, pertumbuhan segmen kenderaan bermotor disokong oleh pelancaran model xEV¹ baharu, pindaan terkini undang-undang mengenai rangka kerja pembiayaan sewa beli untuk kenderaan bermotor dan aktiviti promosi akhir tahun.
“Selaras dengan permintaan pasaran yang menggalakkan, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah menyemak semula dan meningkatkan unjuran jumlah keseluruhan industri (TIV) 2026 kepada 800,000 unit daripada 790,000 unit dengan jualan xEV dijangka merangkumi sekitar 120,000 unit,” katanya.
Sementara itu, subsektor perdagangan borong dan runcit meningkat sebanyak 4.8 peratus pada separuh pertama 2026, disokong perbelanjaan isi rumah yang stabil dan aktiviti berkaitan pelancongan berikutan sambutan perayaan, cuti umum dan cuti sekolah pertengahan tahun.
“Pertumbuhan ini juga sebahagiannya didorong oleh fasa kedua pelarasan gaji di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bagi penjawat awam,” katanya. – UTUSAN
The post Sektor perkhidmatan dijangka berkembang 5.5 peratus pada 2026 appeared first on Utusan Malaysia.





