Sektor perladangan berpotensi catat prestasi baik pada suku pertama tahun ini, kata HLIB

13/05/2025 - 12:30
Oleh 'AINA SYAZWINA
KUALA LUMPUR 13 Mei – Sektor perladangan berpotensi mencatat prestasi baik bagi suku pertama 2025 (1Q25), disokong keuntungan lebih tinggi walaupun segmen hiliran kekal lemah, kata Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "neutral" terhadap sektor tersebut kerana tiada pemangkin permintaan yang jelas buat masa ini.
HLIB berkata, keuntungan huluan dijangka meningkat walaupun pengeluaran tandan buah segar (BTS) menurun disebabkan musim menuai yang rendah dan hujan lebat di beberapa kawasan di Malaysia.
Namun, kesan tersebut dijangka diimbangi oleh harga minyak sawit mentah (MSM) yang lebih tinggi.
Hap Seng Plantations Holdings Bhd mencatat penurunan 11.3% dalam pengeluaran FFB bagi 1Q25 secara tahunan walaupun menunjukkan pemulihan 19.1% secara bulanan pada Mac, susulan gangguan penuaian akibat banjir pada dua bulan pertama tahun ini.
HLIB menjangkakan, syarikat itu tidak mencapai sasaran awal pengeluaran BTS sebanyak 725,000 tan bagi tahun ini.
"Syarikat yang mempunyai pendedahan lebih tinggi di Indonesia dijangka mencatat prestasi lebih baik berbanding yang beroperasi di Malaysia, hasil perubahan corak tanaman dan rumusan isu sosial di ladang masing-masing," katanya dalam satu nota kajian.
TSH Resources Bhd mencatat penurunan BTS suku ke suku yang paling kecil iaitu sebanyak 4.9% bagi 1Q25, berikutan pemulihan hasil tanaman di Indonesia.
Sebaliknya, pendapatan hiliran dijangka menyusut berikutan asas perbandingan yang tinggi dari 1Q24 serta kesan cukai eksport MSM dan perbezaan duti antara Malaysia dan Indonesia, selain kos input yang masih tinggi yang menekan permintaan terhadap produk hiliran.
Harga MSM berkurang lebih 20% kepada RM3,781 satu tan metrik, dengan purata Harga tahun setakat ini (YTD) sebanyak RM4,579 satu tan metrik.
HLIB mengekalkan unjuran harga MSM 2025-2026 pada RM4,000 hingga RM3,800 satu tan metrik, selaras jangkaan pemulihan bekalan khususnya dari Indonesia.
Saham pilihan utama HLIB dalam sektor itu termasuk SD Guthrie Bhd (RM5.17), Johor Plantations Group Bhd (RM1.35), dan IOI Corporation Bhd (RM4.24).
Saham Hap Seng Plantations naik tiga sen kepada RM1.91, manakala TSH Resources meningkat satu sen kepada RM1.10.
SD Guthrie naik satu sen kepada RM4.61, Johor Plantations naik satu sen RM1.19, dan IOI Corporation meningkat tiga sen kepada RM3.67.- DagangNews.com
standard


