Pusat data, AI dan pengkomputeran berprestasi tinggi berpotensi pacu pertumbuhan baharu Pentamaster - UOBKH

TechnologyBusiness & Finance
13 May 2025 • 10:53 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pusat data, AI dan pengkomputeran berprestasi tinggi berpotensi pacu pertumbuhan baharu Pentamaster - UOBKH

image is not available

13/05/2025 - 10:53

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 13 Mei – Bidang kecerdasan buatan (AI), pusat data, pengkomputeran berprestasi tinggi dan rangkaian berpotensi menajdi pemacu pertumbuhan baharu kepada Pentamaster Corporation Berhad, kata UOB Kay Hian (UOBKH) Research.

Katanya, bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2025 (1QFY25), pengeluar peralatan ujian automatik (ATE) itu mencatatkan penurunan keuntungan bersih sebanyak satu pertiga kepada RM13.07 juta.

Firma penyelidikan itu berkata, prestasi pendapatan lemah berbanding jangkaan penganalisis berpunca daripada hasil lebih rendah dalam segmen perubatan, sekali gus menjejaskan prestasi keseluruhan.

"Dalam ketidaktentuan makroekonomi yang berterusan, sebahagian pelanggan mengambil pendekatan berhati-hati dengan menangguhkan keputusan pelaburan dan perolehan, khususnya dalam sektor sensitif terhadap perbelanjaan modal.

"Sentimen ini turut terjejas oleh tarif baharu Amerika Syarikat (AS) yang menekan hubungan perdagangan global dan melambatkan pembaharuan pesanan," katanya dalam satu nota kajian.

Nilai buku pesanan kumpulan berkurang kepada RM350 juta berbanding RM400 juta pada suku sebelumnya, manakala tunai bersih susut kepada RM262 juta berbanding RM449 juta pada 4QFY24, disebabkan pelaksanaan penswastaan Pentamaster International Ltd.

Kumpulan kini berdepan cabaran dalam momentum penukaran pesanan, ditambah pula perubahan strategi rantaian bekalan global dalam kalangan pelanggan dan syarikat itu sendiri.

Selepas kenaikan 28% daripada paras terendah baru-baru ini, UOBKH menilai saham Pentamaster kini berada pada profil pulangan-risiko yang seimbang dan menurunkan penarafan kepada “pegang” dengan harga sasaran RM2.70.

Sementara itu, CGS International (CGSI) Research menurunkan unjuran pendapatan sesaham FY25 hingga FY27 sebanyak 14% hingga 17% berikutan jangkaan kelemahan dalam pesanan sektor automotif dan perubatan akibat tarif AS.

"Kami menjangkakan hasil segmen perubatan menyusut 20% pada FY25, berbanding unjuran penurunan 10% sebelum ini, kerana lebih banyak syarikat MedTech berpangkalan di AS mungkin membawa pulang operasi pengilangan mereka.

"Langkah ini lebih ketara bagi syarikat yang sudah mempunyai kemudahan di AS dan berpotensi menghadkan tempahan besar kepada Pentamaster," katanya.

Namun, kepelbagaian Pentamaster ke dalam segmen pertumbuhan baharu seperti tenaga boleh diperbaharui dan pengkomputeran berprestasi tinggi dijangka mampu meredakan cabaran sedia ada.

Segmen baharu itu dijangka menyumbang 5% kepada hasil FY25, dipacu oleh peluasan saluran jualan kumpulan.

CGSI turut menurunkan penarafan saham Pentamaster daripada "tambah" kepada "pegang" dengan harga sasaran RM2.70 sesaham.- DagangNews.com

standard