Sektor RE dijangka terus berkembang dengan nilai kontrak EPCC boleh mencecah RM15 bilion - HLIB

21/07/2025 - 16:24
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 21 Julai – Sektor tenaga boleh baharu (RE) negara dijangka terus berkembang berikutan pelaksanaan berterusan program berskala besar seperti LSS5+, MyBeST dan LSS6 yang dijangka membuka bidaan tidak lama lagi.
Menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB), nilai potensi kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) daripada inisiatif ini dianggarkan antara RM10 bilion hingga RM15 bilion.
Firma penyelidikan itu berkata, anggaran itu berpotensi meningkat lebih tinggi sekiranya program LSS6 turut merangkumi integrasi sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS), yang mampu meningkatkan daya tarikan dan kecekapan projek secara keseluruhan.
"Pelaksanaan pelbagai program ini bakal merancakkan pertumbuhan buku pesanan sektor RE dalam tempoh 12 bulan akan datang," kata HLIB dalam nota kajiannya.
Tambah HLIB, sebanyak 190 megawatt (MW) bidaan projek hidro kecil dan biojisim di bawah skim Tarif Galakan (FiT) juga akan dibuka akhir tahun ini, sekali gus membuka peluang baharu kepada pemain EPCC dalam segmen biojisim.
Dalam perkembangan berkaitan, HLIB menyifatkan sasaran Solarvest untuk mencapai buku pesanan bernilai RM2 bilion menjelang tahun kewangan 2026 adalah realistik memandangkan syarikat tersebut secara konsisten memperoleh antara 30 hingga 40 peratus daripada projek solar berskala besar negara.
“Bagaimanapun, Skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) masih menunjukkan penyertaan sederhana sejak pelancarannya pada suku ketiga tahun kewangan 2024, berpunca daripada caj akses sistem (SAC) yang tinggi antara 25 hingga 45 sen setiap kilowatt jam (KWh).
“Setakat ini, hanya dua penyertaan berskala besar direkodkan iaitu Bridge Data Centres (400 MW) dan DayOne (500 MW),” menurut firma itu.
Namun, HLIB menjangka minat akan meningkat berikutan kenaikan tarif elektrik di bawah Tempoh Kawal Selia Empat (RP4) yang menyaksikan pusat data kini diklasifikasikan sebagai pelanggan Voltan Ultra Tinggi Masa-Penggunaan (UHV TOU), dengan kos meningkat kira-kira 14 peratus atau sekitar 60 sen/KWh berbanding RP3.
"Dalam pelaksanaan loji solar sepenuhnya dan berdasarkan tarif bidaan di bawah LSS5+, tarif PPA antara 58 hingga 60 sen/KWh dilihat mampu meningkatkan daya maju projek tersebut.
"Melalui CRESS, pengambil tenaga pusat data akan menikmati atribut tenaga hijau dan kestabilan kos. Gabungan solar dan BESS berpotensi diterima lebih pantas dalam keadaan ini," katanya.
HLIB menjangkakan potensi pasaran yang besar apabila jumlah Perjanjian Bekalan Elektrik (PPA) yang telah ditandatangani kini mencecah 6.4 gigawatt, manakala penggunaan sebenar oleh pusat data hanya sekitar 484 MW pada suku pertama 2025.
Firma itu berkata, penyertaan dijangka terus meningkat apabila penambahbaikan dibuat terhadap kaedah pengiraan caj kapasiti dan rangkaian dalam masa terdekat. - DagangNews.com
standard

