
MADRID - Sekurang-kurangnya 68 orang maut manakala 58 lagi menerima rawatan di hospital selepas sebuah kereta api laju merempuh bahagian belakang sebuah lagi kereta api yang berhenti di tengah Sepanyol, Rabu.
Insiden berhampiran Urda, wilayah Toledo itu membabitkan dua kereta api kendalian syarikat milik kerajaan, RENFE dan syarikat swasta IRYO, yang dalam perjalanan dari Madrid menuju Seville.
Menteri Pengangkutan Sepanyol, Óscar Puente berkata, kerosakan sistem komputer telah menyebabkan sistem keselamatan di sepanjang laluan sejauh 63 kilometer tidak berfungsi, sekali gus memaksa kereta api di kawasan terjejas berhenti.
Menurutnya, pusat kawalan kemudian mengarahkan kereta api RENFE meneruskan perjalanan tanpa sekatan kelajuan, meskipun isyarat berhenti masih aktif.
Beliau berkata, kereta api berkenaan tidak sepatutnya dibenarkan bergerak dalam keadaan itu dan sekurang-kurangnya perlu diarahkan bergerak pada kelajuan rendah.
Pihak berkuasa masih menyiasat kelajuan kereta api ketika perlanggaran berlaku, yang dipercayai mungkin mencecah 200 kilometer sejam.
Puente berkata, pemandu kereta api tidak dipersalahkan dalam kejadian itu, sambil menegaskan bahawa beliau tidak menuding jari kepada mana-mana pihak.
Menurut laporan Associated Press (AP), perlanggaran itu menyebabkan dua gerabak di bahagian belakang kereta api IRYO dan bahagian hadapan kereta api RENFE tergelincir daripada landasan.
Serpihan gerabak bertaburan di cerun berbatu berhampiran kawasan ladang zaitun.
Pihak berkuasa memaklumkan seramai 397 penumpang berada di dalam kereta api RENFE manakala 147 lagi menaiki kereta api IRYO ketika kejadian.
Pasukan penyelamat menjalankan operasi mencari mangsa yang terselamat dan mayat di celah-celah bangkai gerabak, dengan bantuan ambulans, helikopter perubatan serta pasukan kecemasan tentera.
Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sánchez yang melawat lokasi kejadian mengumumkan kerajaan akan mengisytiharkan tiga hari berkabung kebangsaan.
Beliau turut menggesa langkah keselamatan diperkukuh bagi memulihkan keyakinan orang ramai terhadap rangkaian kereta api laju negara itu.
“Tidak boleh diterima bagi sebuah negara seperti Sepanyol mengalami dua kemalangan kereta api laju dalam tahun yang sama,” katanya.
Perkhidmatan kereta api antara Madrid, Ciudad Real dan wilayah Andalusia digantung susulan kejadian itu.
Beberapa mangsa yang terselamat menyifatkan impak perlanggaran sebagai mengejutkan dan dahsyat, dengan bagasi serta telefon bimbit tercampak di dalam gerabak, manakala penumpang berusaha menyelamatkan diri melalui tingkap.
Seorang pelancong Britain, Samy Paul yang diselamatkan dari kereta api RENFE memberitahu AP bahawa gerabak remuk teruk dan terdapat kesan darah di sekitar bangkai kereta api.
Raja Sepanyol, Raja Felipe VI turut melawat lokasi kejadian, manakala Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan sokongan kepada mereka yang cedera.
Kemalangan itu berlaku sembilan bulan selepas satu lagi perlanggaran maut membabitkan kereta api laju kendalian kedua-dua syarikat berkenaan di selatan Sepanyol pada Januari lalu.
Wisma Putra Semak Kemungkinan Rakyat Malaysia Terlibat
PUTRAJAYA – Kementerian Luar sedang menyemak kemungkinan rakyat Malaysia terlibat dalam perlanggaran dua kereta api laju di Sepanyol yang mengorbankan sekurang-kurangnya 68 orang dan menyebabkan puluhan lagi cedera.
Dalam satu kenyataan, kementerian itu memaklumkan Kedutaan Besar Malaysia di Madrid masih belum menerima pengesahan mengenai rakyat Malaysia yang terjejas dalam kejadian berhampiran Urda, wilayah Toledo.
“Kedutaan sedang berhubung dengan pihak berkuasa Sepanyol dan pengendali kereta api berkaitan bagi mengenal pasti sama ada terdapat rakyat Malaysia dalam kalangan penumpang yang terlibat serta menyelaraskan bantuan konsular sekiranya diperlukan,” menurut kenyataan itu.
Menurut kementerian, perlanggaran berlaku kira-kira jam 8.54 pagi waktu tempatan pada Rabu, membabitkan dua kereta api penumpang yang dalam perjalanan dari Madrid menuju Seville.
Operasi menyelamat masih diteruskan, manakala perkhidmatan kereta api laju antara Madrid dan Andalusia digantung susulan insiden berkenaan.
Kementerian menasihatkan rakyat Malaysia yang berada di Sepanyol, khususnya mereka yang merancang menggunakan perkhidmatan kereta api di laluan terjejas, supaya mendapatkan maklumat terkini terus daripada pengendali berkaitan dan membuat pengaturan perjalanan alternatif jika perlu.
Rakyat Malaysia yang mungkin terjejas atau mempunyai maklumat mengenai penumpang Malaysia yang berkemungkinan terlibat diminta menghubungi kedutaan bagi membantu proses pengesahan dan penyediaan bantuan konsular.
Rakyat Malaysia yang menetap atau melancong ke Sepanyol turut digalakkan mendaftar serta memastikan maklumat hubungan mereka dikemas kini melalui portal e-Konsular.
Bagi bantuan konsular kecemasan, Kedutaan Besar Malaysia di Madrid boleh dihubungi melalui talian 24 jam di +34 659 894 943.
Pertanyaan umum pula boleh dikemukakan melalui talian +34 91 555 0684 atau +34 91 555 0737, atau e-mel mwmadrid@kln.gov.my.
Kementerian Luar memaklumkan pihaknya akan terus memantau perkembangan kejadian itu dan mengeluarkan maklumat lanjut sekiranya perlu. - Getaran, 29 Oktober 2026




