Sekurang-kurangnya dua orang terbunuh, empat cedera dalam letupan kapal tangki minyak di Thailand

18 Jan 2023 • 8:02 AM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

BANGKOK: Sekurang-kurangnya dua pekerja limbungan maut dan empat lagi cedera apabila sebuah lori tangki minyak yang berlabuh untuk kerja penyelenggaraan di Limbungan Ruam Mitr di daerah Muang, Samut Songkhram, terbakar dan meletup.

Gabenor Samut Songkhram Somnuk Phromkeaw berkata lima lagi pekerja limbungan dilaporkan hilang dalam kejadian pada pukul 9.15 pagi (waktu tempatan) Selasa itu.

Selain daripada kerosakan pada kapal tangki dan limbungan itu, 71 kediaman yang terletak berdekatan juga mengalami kerosakan akibat letupan itu.

“Dua mayat ditemui dan menunggu bedah siasat serta proses mengenalpasti identiti mangsa,” katanya dalam sidang media.

Kapal tangki itu dikatakan berada di limbungan berkenaan sejak Jan 12. Kesemua 17 anak kapal tidak berada dalam kapal itu semasa kejadian.

Sementara itu, Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana (DDPM) Samut Songkhram berkata dalam kenyataan bot pemadam kebakaran bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan dan memulakan operasi memadam kebakaran, mencari dan menyelamat (SAR).

Letupan kecil susulan turut dilaporkan pada tengah hari.

DDPM berkata kapal tangki itu membawa 20,000 liter petrol dan diesel semasa ia berlabuh di limbungan itu di sungai Mae Klong untuk kerja penyelenggaraan.

Kebakaran dan letupan menyebabkan asap tebal dengan media tempatan melaporkan letupan itu turut memecahkan tingkap rumah berdekatan.

Punca kebakaran sedang disiasat. -Bernama