
KUALA LUMPUR – Kadang bukan hadiah mahal atau duit berkepuk yang buat mak ayah rasa bahagia. Cukup sekadar dapat tengok muka anak sekejap, tanya “dah makan ke belum”, itu pun dah cukup besar maknanya. Sebab itu, satu video ringkas yang memaparkan momen pertemuan seorang anak dengan ibu bapanya di tepi jalan berjaya buat ramai netizen bergenang air mata.
Menerusi video yang dikongsikan semula di media sosial, kelihatan seorang lelaki berhenti di tepi jalan besar untuk bertemu mak dan ayahnya sebelum meneruskan perjalanan mencari rezeki. Kedua-dua orang tuanya setia menunggu semata-mata mahu menyerahkan bekalan makanan kepada anak. Seorang individu yang memuat naik semula video itu menulis, “MasyaAllah… bergenang air mata tengok momen terindah mereka. Beruntung abang ni, mak ayah siap tunggu anak dia dekat tepi jalan besar sebelum gerak kerja.”
Menjengah akaun asal milik @abgujang, dia hanya meninggalkan pesanan ringkas tetapi cukup mendalam maknanya, “Yang ada mak ayah lagi, ada peluang jumpa lah depa.”
Di ruangan komen pula, ramai meluahkan rasa sebak dan cemburu yang baik-baik, malah ada yang berkongsi mereka sudah kehilangan ibu bapa. Antara komen ditinggalkan termasuk, “Kau besar mana pun, selagi depa boleh buat untuk anak, depa tetap buat,” serta doa agar kedua-dua orang tuanya dikurniakan kesihatan dan umur panjang.
Bekal Air Tangan Mak, Rasa Rumah Yang Tak Boleh Dibeli
Dalam masa sama, ada juga yang bertanya tentang bekalan yang dibawa. Abg Ujang memaklumkan ibunya menyediakan sambal goreng ikan bilis dan gulai ikan, malah sambal ikan bilis kering memang akan ditapau banyak setiap kali mereka bertemu.
Menurutnya, dia akan ambil peluang singgah setiap kali laluan kerjanya melalui kawasan rumah orang tua kerana baginya, selagi masih ada masa dan kesempatan, itulah momen paling berharga.
Hakikatnya, kasih sayang mak ayah memang sederhana caranya, tetapi nilainya terlalu besar. Tak perlu tunggu hari istimewa atau cuti panjang, kadang-kadang singgah lima minit pun sudah cukup buat mereka tersenyum sepanjang hari.
Selagi mereka masih ada, jangan bertangguh untuk pulang atau sekadar bertanya khabar, kerana bila peluang itu hilang nanti, rindu sahaja yang tinggal. – The Malaysian Update
The post “Selagi Ada Mak Ayah, Jangan Lepaskan Peluang Jumpa…” – Momen Anak Singgah Tepi Jalan Buat Ramai Sebak appeared first on The Malaysian Update.

