
PELAKON dan penyanyi terkenal, Alif Satar, sekali lagi mencuri perhatian peminat apabila mengumumkan kelahiran cahaya mata keempatnya.
Berita gembira itu dikongsikan sendiri oleh Alif, 36, menerusi satu hantaran penuh emosi di media sosial dan sambil berkongsi nama bayi perempuan yang dilahirkan pada waktu Subuh, 22 Mac 2026 yang jatuh pada 2 Syawal.
Dalam perkongsian tersebut, vokalis Alif Satar & The Locos itu turut berkongsi di sebalik pemilihan nama indah Aleyya Fajr buat si kecil.

“Kamu hadir tepat pada waktu yang sesuai dengan nama yang kami pilih untukmu, sayang ‘fajar yang mulia,” tulisnya.
Alif turut mengakui bahawa setiap perancangan ALLAH adalah yang terbaik dan menzahirkan kesyukuran atas kelahiran cahaya mata.
"Sesungguhnya ALLAH SWT adalah sebaik-baik Perancang.
"Semoga setiap langkah hidupmu sentiasa dipandu dengan kasih sayang dan petunjuk-NYA.
"Percayalah, daddy akan sentiasa cuba lakukan yang terbaik untuk sentiasa ada di sisimu. Assalamualaikum, selamat datang ke dunia, Aleyya Fajr," titip Alif yang turut memuat naik foto memangku si kecil itu.

Sudah tentu kelahiran Aleyya Fajr ini menambahkan kebahagiaan dalam keluarga Alif.
Hantaran berkenaan menerima ucapan tahniah dan doa daripada peminat dan rakan selebriti.
Sekadar info, Alif dan isteri, Shadila Halid, 41, berkahwin pada 15 September 2014.
Hasil perkahwinan itu, pasangan ini dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Alisha Anugerah, 11, Ariana Mecca, 9, dan Muhammad ‘Ali, 7.

