
Enam pemain Selangor yang menarik diri daripada skuad Harimau Malaya bagi aksi persahabatan antarabangsa menentang China dan Yaman bulan ini boleh menarik nafas lega apabila disahkan tidak akan berdepan sebarang tindakan.
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Ab Ghani Hassan, mengesahkan keputusan itu dibuat selepas badan induk berkenaan hanya bergantung kepada laporan perubatan yang dikemukakan Selangor tanpa menjalankan pemeriksaan oleh pegawai perubatan skuad kebangsaan seperti yang digariskan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Enam pemain terbabit ialah Nooa Laine, Ahmad Zikri Khalili, A. Selvan, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, Syahir Bashah dan Harith Haiqal Adam Afkar.
Mereka tidak melapor diri ke kem Harimau Malaya dengan alasan kecederaan selepas beraksi menentang Kuching City dalam separuh akhir kedua Piala FA.
Selangor kemudian mengemukakan laporan perubatan kepada FAM tetapi kekangan masa skuad negara berlepas ke Guangzhou menyebabkan tiada pemeriksaan lanjutan dilakukan.
"Sebenarnya mereka sudah menghantar surat kepada kami sebaik perlawanan Selangor menentang Kuching City," kata Ab Ghani kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
"Doktor juga sudah mengesahkan bahawa mereka memang mengalami kecederaan, jadi kami hormati pandangan doktor dan kerana itu kami memanggil pemain dalam senarai menunggu."





