Selangor adakan sesi libat urus industri, tangani cabaran global

LocalBusiness & Finance
20 Apr 2026 • 8:50 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 20 APRIL: Kerajaan Negeri melalui Invest Selangor Bhd akan mengadakan sesi libat urus bersama pemain industri utama, termasuk sektor perkhidmatan dan pembinaan, bagi menilai bentuk sokongan diperlukan untuk membantu mereka berdepan cabaran global semasa.

Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sesi tersebut akan diadakan dalam tempoh dua minggu akan datang dan dimasukkan dalam pakej rangsangan fasa kedua negeri.

“(Sokongan ini) diperlukan bagi membantu industri ini kekal berdaya tahan walaupun berdepan tekanan akibat krisis (Asia Barat) yang berterusan.

“Itu sebahagian daripada perancangan untuk fasa kedua (pakej rangsangan Selangor),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Tautan Muhibah anjuran Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan), atau MBI, di sini hari ini.

Pada 16 April lalu, Amirudin mengumumkan Fasa 1 Pakej Pengukuhan Ketahanan Selangor berjumlah RM131 juta, yang bertujuan memperkukuh daya tahan ekonomi negeri susulan ketidaktentuan global.

Inisiatif di bawah pakej itu akan dilaksanakan mulai Jun, dengan fokus untuk membantu perusahaan kecil serta rakyat menghadapi kesan konflik Asia Barat.

Amirudin berkata pelaksanaan fasa pertama pakej rangsangan itu sedang diselaras dan berjalan mengikut jadual.

“(Pakej ini) melibatkan jaringan yang lebih luas, bukan hanya penerima bantuan, tetapi juga pekerja, pemilik kedai dan peniaga kecil.

“Sebagai contoh, bagi baucar RM100 Kita Selangor, kita sedang menentukan senarai kedai yang boleh menjadi vendor terlibat.”

Beliau berkata matlamat kerajaan negeri bukan sahaja untuk melindungi rakyat daripada kesan ekonomi konflik tersebut, tetapi juga menyokong perniagaan.

“Seluruh ekosistem, sama ada rantaian bekalan atau perkhidmatan, perlu dapat berfungsi dengan lancar,” tambah Amirudin.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved