Selangor cadang bina laluan bertingkat atasi kesesakan di Persiaran Mokhtar Dahari - Exco

LocalCars
29 Oct 2026 • 4:45 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Selangor cadang bina laluan bertingkat atasi kesesakan di Persiaran Mokhtar Dahari - Exco
Izham memberi penerangan berhubung isu kesesakan di Persiaran Mokhtar Dahari, Shah Alam pada Khamis.

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor mencadangkan pembinaan laluan bertingkat sepenuhnya di Persiaran Mokhtar Dahari di sini bagi mengatasi kesesakan trafik.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir Izham Hashim berkata, pembinaan laluan dari kawasan sebelum persimpangan Green Hill hingga ke Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH) itu dilihat mampu melancarkan pergerakan kenderaan, namun memerlukan penelitian lanjut berikutan kos tinggi.

Menurutnya, cadangan dianggarkan menelan belanja RM1 bilion antara pilihan dipertimbangkan dalam usaha mengurangkan kesesakan di laluan itu bagi menampung kira-kira 80,000 kenderaan sehari.

"Kalau ikut pandangan saya, jika kita ada dana (mencukupi), memang (cadangan laluan bertingkat) itu sebaiknya.

"Menerusi laluan bertingkat sepanjang sembilan kilometer, kenderaan yang hendak menuju ke destinasi seterusnya boleh bergerak terus, manakala kenderaan masuk ke kawasan perumahan boleh menggunakan laluan di bawah," katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media dan sesi penerangan di sini pada Khamis.

Sinar Harian pada 23 Oktober lalu melaporkan, penduduk mempersoalkan tempoh pelaksanaan pembinaan jejambat di Persiaran Mokhtar Dahari yang dicadangkan sejak kira-kira 15 tahun lalu, susulan kemalangan berulang dan kesesakan lalu lintas di laluan itu.

Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Alam Budiman, Badrulhisham Shahbudin berkata, cadangan penyelesaian itu perlu diberi perhatian serius berikutan laluan itu menjadi antara akses utama pengguna dari Puncak Alam, Puncak Perdana, Meru, Saujana Utama dan kawasan perumahan sekitarnya ke DASH.

Izham memberitahu, kerajaan negeri pada masa ini turut merancang kerja naik taraf jalan sepanjang kira-kira lima kilometer dari Seksyen 11 hingga persimpangan Green Hill dengan kos RM128 juta di bawah Rancangan Selangor 2 (RS-2).

"Projek ini merangkumi penyelarasan jajaran kepada empat lorong yang lebih seragam serta pembinaan jejambat bagi membantu melancarkan aliran trafik," jelas beliau.

Menurut Izham, kerja-kerja naik taraf itu dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya tiga tahun.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut merancang menaik taraf persimpangan Alam Budiman dengan kos kira-kira RM3 juta termasuk menyediakan lorong tambahan bagi membolehkan kenderaan menuju Shah Alam bergerak terus tanpa perlu menunggu lampu isyarat.

"Kerja fizikal dijangka bermula tahun depan, namun ia bergantung kepada urusan pemindahan utiliti berkaitan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Izham berkata, kajian keselamatan jalan raya yang disiapkan pada 22 Oktober lalu mendapati tahap perkhidmatan trafik di Persiaran Mokhtar Dahari berada pada tahap F iaitu tahap paling sesak dalam skala berkenaan.

Beliau berkata, kajian itu turut merekodkan sembilan kemalangan dari Mac hingga Oktober tahun ini termasuk satu kes kematian.

"Selain penambahbaikan infrastruktur, pengguna jalan raya perlu mematuhi had laju bagi mengurangkan risiko kemalangan di laluan tersebut," tambah beliau.

Izham memberi penerangan berhubung isu kesesakan di Persiaran Mokhtar Dahari di sini pada Khamis.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved