amree14/10/2026 - 16:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 14 Okt — Selangor membuka tirai Sidang Kemucak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2026 dengan potensi pelaburan melebihi RM3 bilion daripada empat pelabur asing, sekali gus mengukuhkan kedudukan negeri itu sebagai destinasi pelaburan serantau.
Potensi pelaburan itu dinyatakan menerusi penyerahan surat hasrat (LOI) oleh Shenghui Biotechnology (Malaysia) Sdn Bhd, Galaxy Data Centre, XTC New Energy dan Wuxi Weifu Environmental Catalysts Co Ltd, dengan kemudahan pembiayaan dilaksanakan menerusi UOB Malaysia.
Majlis pembukaan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu dihadiri Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari. Beberapa memorandum persefahaman (MoU) turut dimeterai sebagai usaha memperkukuh kerjasama perniagaan.
"SIBS 2026 dikelolakan oleh Invest Selangor Berhad dengan menerima sokongan kuat Kerajaan Negeri Selangor, serta berlangsung selama empat hari dari 14 hingga 17 Oktober, yang bertemakan 'Selangor, the Gateway to ASEAN'," jelas kenyataan penganjur berkenaan.
Sidang kemuncak tersebut katanya, menyasarkan kehadiran kira-kira 50,000 pengunjung serta potensi nilai transaksi diunjur berjumlah RM8 bilion, dengan sebanyak 526 reruai pameran yang membabitkan peserta dari Asia, Eropah, Afrika dan benua Amerika.
Ia menghimpunkan pelabur, dan pemain industri melibatkan tujuh program utama meliputi pelaburan, pembangunan perindustrian, teknologi, penjagaan kesihatan dan bakat. Seramai 110 delegasi menyertai Program Delegasi Jemputan, manakala 188 penceramah mengisi sembilan sesi khusus.

Kenyataan itu menambah, antara tumpuan utama ialah Selangor ASEAN Business Conference yang membincangkan dasar ekonomi serantau dan prospek pelaburan ASEAN, manakala Selangor Investment Forum pula mengetengahkan sektor pertumbuhan serta projek pelaburan.
"Dalam pada itu, Selangor Investment and Industrial Park Expo mempamerkan pembangunan taman perindustrian, sementara Selangor AI and Semiconductor Summit menampilkan lebih 140 pempamer merangkumi kecerdasan buatan (AI), pembuatan teknologi tinggi," katanya.
Selangor Techsphere Summit pula memberi tumpuan kepada transformasi digital dan pembuatan termaju. manakala Selangor International Care Expo menghimpunkan syarikat dalam bidang penjagaan warga emas, kanak-kanak, pemulihan dan teknologi bantuan bagi memenuhi keperluan industri.
Dalam usaha memperkukuh pasaran tenaga kerja, Selangor Career Outreach Talent Expo diperkenalkan buat julung kali dengan sasaran menghubungkan lebih 140 majikan kepada 10,000 pencari kerja dan merapatkan jurang industri bersama graduan serta tenaga kerja profesional.
Secara keseluruhan, SIBS 2026 menjadi platform bagi memperluas jaringan perniagaan, meneroka peluang pelaburan dan memperkukuh pembangunan bakat, selaras usaha Selangor meningkatkan daya saing serta mengembangkan peranan sebagai pintu masuk pelaburan ke ASEAN. - DagangNews.com





