
SHAH ALAM, 24 OGOS: Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 melabuhkan tirai hari ini dengan Selangor menamatkan temasya di puncak selepas mempamerkan penguasaan sepanjang saingan di laman sendiri.
Kontinjen Merah Kuning muncul juara keseluruhan dengan kutipan 101 emas, 73 perak dan 71 gangsa bagi keseluruhan 245 pingat, sekali gus jauh melepasi sasaran awal 80 emas yang ditetapkan sebelum temasya bermula.
Sasaran itu sudah dicapai sehari sebelum saingan berakhir menerusi kejayaan skuad e-sukan, sebelum atlet Selangor terus menambah kilauan pingat dalam beberapa acara pada hari terakhir.
Wilayah Persekutuan menamatkan saingan di tempat kedua dengan 51 emas, 54 perak dan 52 gangsa bagi keseluruhan 157 pingat.
Terengganu menduduki tempat ketiga dengan 43 emas, 44 perak dan 36 gangsa (123 pingat), manakala tuan rumah SUKMA 2024, Sarawak berada di tangga keempat dengan 41 emas, 40 perak dan 62 gangsa (143 pingat).

Antara kejayaan terakhir kontinjen negeri hadir menerusi silambam apabila Selangor memenangi acara Berirama Tanpa Senjata Campuran di Stadium MBSJ, Serdang.
Gandingan Venisha Saravanan, Sasmita Ravi, Roselynn Anuska Devit Raj, Sharvienrajh Selvam dan Preteish Anbucelvan mengatasi Perak yang meraih perak, manakala Terengganu membawa pulang gangsa.
Kecemerlangan temasya turut diserikan dengan kejayaan ratu renang Selangor, Eliza Tan Ai Shen yang dinobatkan sebagai Olahragawati SUKMA 2026.
Perenang berusia 19 tahun itu mencatat masa 26.44 saat (s) untuk memenangi acara 50 meter (m) gaya bebas wanita sekali gus memecahkan rekod temasya 26.50s yang dicipta Leung Chii Lin dari Sabah pada 2008 di Kompleks Akuatik Darul Ehsan.
Eliza kemudian melengkapkan koleksi tujuh pingat emas pada temasya kali ini apabila mengetuai kuartet Selangor dalam acara 4x100m rampaian wanita untuk meraih kemenangan dengan rekod baharu temasya 4:18.87s.

Sementara itu, penembak Pahang, Cheah Zen Hong dinobatkan sebagai Olahragawan SUKMA 2026 selepas meraih sembilan pingat emas dan satu perak.
Pencapaian itu mengatasi rekod peribadinya pada SUKMA Sarawak 2024 apabila meraih tujuh emas.
Daripada sembilan emas tersebut, lapan diraih menerusi acara individu dan berpasukan, masing-masing empat emas, manakala satu lagi menerusi acara duo.
Zen Hong turut meraih satu perak dalam acara individu selain memecahkan rekod kejohanan.
Kali terakhir Selangor muncul juara keseluruhan temasya sukan terbesar negara itu ialah pada SUKMA Sarawak 2016 dengan kutipan 59 emas, 73 perak dan 63 gangsa.
Sepanjang berlangsung secara rasmi dari 15 Ogos hingga hari ini, SUKMA 2026 mempertandingkan 37 jenis sukan membabitkan 368 acara di sembilan daerah seluruh Selangor.





