PUTRAJAYA – Selangor terus mencatatkan jumlah kes pendaki sesat tertinggi di negara ini apabila kebanyakan insiden melibatkan kawasan pendakian dan rekreasi popular di sekitar Lembah Klang.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, trend itu dapat dilihat berdasarkan statistik lima bulan pertama tahun ini serta rekod keseluruhan tahun lalu.
Menurutnya, sebanyak 52 kes melibatkan 114 mangsa direkodkan di seluruh negara dari Januari hingga Mei tahun ini, berbanding 40 kes dengan 88 mangsa dalam tempoh sama tahun lalu.
“Peningkatan sebanyak 12 kes ini bersamaan hampir 30 peratus, manakala jumlah mangsa turut meningkat seramai 26 orang berbanding tempoh sama tahun lalu,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau berkata, Selangor kekal merekodkan jumlah kes tertinggi dengan kebanyakan kejadian berlaku di kawasan pendakian dan rekreasi tumpuan pengunjung sekitar Lembah Klang.
Antara lokasi yang kerap terlibat insiden pendaki hilang arah ialah Air Terjun Kanching di Rawang, Bukit Wawasan di Puchong, Bukit Broga di Semenyih, Bukit Gasing, Bukit Saga dan Bukit Apek di Hulu Langat serta beberapa kawasan rekreasi di Kota Damansara.
ARTIKEL BERKAITAN SAR JASLINDA: 'Ibu lasak dan berani' - Keluarga yakin Jaslinda mampu bertahan
Pasukan SAR bermalam di puncak, operasi jejak Jaslinda dipergiat
Pasukan SAR jumpa botol air, bungkusan milik Jaslinda
Ops Gunung Batu Putih: Jaslinda mungkin tersasar, pencarian diteruskan
Ops Gunung Batu Putih: Operasi ditangguhkan, pencarian esok fokus Gunung Rayu
Menurutnya, Kuala Lumpur turut mencatatkan jumlah kejadian yang tinggi melibatkan kawasan rekreasi seperti Bukit Kiara, Bukit Gasing dan Bukit Sungai Besi.
Pulau Pinang juga tidak terkecuali apabila lokasi seperti Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam, Bukit Jambul, Batu Ferringhi, Balik Pulau dan Teluk Bahang terus mencatatkan kes pendaki sesat setiap tahun.
“Sepanjang tahun lalu, sebanyak 88 kes membabitkan 193 mangsa direkodkan di seluruh negara, dengan Selangor menjadi negeri paling banyak memerlukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi kes pendaki sesat.
“Malah, lokasi seperti Bukit Wawasan di Puchong direkodkan berulang kali dalam statistik operasi sehingga menjadi antara kawasan paling kerap terlibat dengan insiden kehilangan arah,” katanya.
Mengulas perkembangan tahun ini, beliau berkata antara kes terbesar direkodkan ialah melibatkan 10 individu yang dilaporkan sesat di Taman Persekutuan Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada 9 Mei lalu.
Katanya, satu lagi kejadian besar membabitkan tujuh mangsa hilang arah di kawasan Kem Kasut Gunung Yong Belar, Gua Musang, Kelantan pada Februari lalu.
Beliau berkata, berdasarkan trend semasa, jumlah kes pendaki sesat tahun ini berpotensi melepasi angka keseluruhan tahun lalu sekiranya peningkatan berterusan sehingga hujung tahun.
Jelasnya, peningkatan itu dipercayai berkait rapat dengan minat masyarakat terhadap aktiviti pendakian dan rekreasi luar yang semakin popular, khususnya di kawasan bukit dan hutan berhampiran bandar.
“Aktiviti hiking dan riadah lasak kini menjadi sebahagian gaya hidup masyarakat.
“Keadaan ini menyebabkan semakin ramai individu termasuk pendaki baharu mencuba aktiviti pendakian dan penerokaan hutan sebagai riadah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya memberi perhatian serius terhadap aspek keselamatan sebelum menyertai aktiviti pendakian.
Katanya, persediaan fizikal, pengetahuan asas serta penggunaan khidmat malim gunung berpengalaman amat penting bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
“Persediaan rapi dari segi kecergasan dan ilmu asas sangat penting kerana kita tidak mengetahui cabaran sebenar di lapangan.
“Khidmat malim gunung berpengalaman juga wajar digunakan kerana mereka mampu membuat keputusan lebih tepat sekiranya berlaku situasi kecemasan,” ujarnya.






