Pulau Pinang catat RM573 bilion nilai eksport tahun lalu

LocalBusiness & Finance
14 May 2026 • 11:53 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pulau Pinang catat RM573 bilion nilai eksport tahun lalu
Chow Kon Yeow

GEORGE TOWN – Pulau Pinang mencatatkan nilai eksport sebanyak RM573 bilion pada tahun 2025 dengan import berjumlah RM382 bilion, mencerminkan aktiviti perdagangan yang kekal aktif di negeri berkenaan.

Data berkenaan menunjukkan kedudukan Pulau Pinang sebagai antara pusat utama perdagangan dan pembuatan berteknologi tinggi di rantau ini khususnya dalam sektor elektronik dan elektrik (E&E), semikonduktor serta peranti perubatan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Pulau Pinang turut merekodkan pelaburan yang diluluskan sebanyak RM32.9 bilion pada tahun lalu yang dipacu oleh kemasukan pelaburan berkualiti dalam sektor berkenaan.

Menurutnya, kemasukan pelaburan tersebut disokong oleh ekosistem perindustrian sedia ada, tenaga kerja mahir, kemudahan infrastruktur serta kedudukan strategik Pulau Pinang dalam rantaian bekalan global.

“Prestasi pelaburan Pulau Pinang pada tahun 2025 kekal memberangsangkan dan negeri ini terus menjadi antara penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Kemasukan pelaburan ini didorong kekuatan ekosistem perindustrian sedia ada, ketersediaan tenaga kerja mahir, kemudahan infrastruktur serta kedudukan strategik Pulau Pinang dalam rantaian bekalan global,” katanya pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 di sini pada Khamis.

Kon Yeow (DAP-Padang Kota) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ong Ah Teong (DAP- Batu Lanchang) berhubung prestasi keseluruhan pelaburan negeri pada tahun 2025.

Tambah Kon Yeow, Pulau Pinang yang dikenali sebagai 'Silicon Valley of the East' kini menempatkan lebih 350 syarikat multinasional (MNC) serta 3,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Menurutnya, ia sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia dalam industri semikonduktor global termasuk aktiviti pemasangan dan pengujian cip.

"Bagi memperkukuh lagi kedudukan sebagai hab teknologi dan pembuatan serantau, kerajaan negeri kini sedang membangunkan projek Pulau Silikon seluas 930.8 hektar.

"Kestabilan dasar serta sokongan berterusan kerajaan negeri turut meningkatkan keyakinan pelabur dalam dan luar negara.

"Walaupun pecahan terperinci jumlah dagangan melalui Pelabuhan Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang tidak diperoleh, angka keseluruhan itu tetap mencerminkan momentum perdagangan yang kukuh melalui pintu masuk utama negeri," ujarnya lagi.