Selangor, Kuala Lumpur kerjasama atasi masalah banjir

LocalEnvironment
23 Aug 2026 • 11:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Selangor Kuala Lumpur banjir

SHAH ALAM: Selangor dan Kuala Lumpur akan bekerjasama bagi menangani masalah banjir yang melibatkan limpahan air dari Hulu Selangor ke ibu kota dan seterusnya ke kawasan selatan negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh Tseow Suan dalam kenyataan bersama berkata, kedua-dua negeri itu harus menggembleng tenaga bagi menguruskan saliran tersebut.

“Keperluan mendesak ini didorong faktor bahawa tiga daripada 10 rakyat Malaysia merupakan penduduk di Selangor dan Kuala Lumpur. Rakyat di kedua-dua kawasan itu menyumbang 41.7 peratus kepada keseluruhan ekonomi Malaysia.

“Persetujuan dasar yang dicapai merangkumi pengurusan tanah, kapasiti takungan, ruang hijau, pembangunan bandar secara mampan dan pengaliran air. Lima tindakan yang dipersetujui bagi mengurangkan insiden banjir di Lembah Klang,” katanya di sini, hari ini.

Dalam kenyataan tersebut, kedua-dua mereka menggariskan lima tindakan iaitu mesyuarat Teknikal dalam tempoh dua minggu, kajian kapasiti Empangan Batu dan Klang Gate, pengenalpastian lokasi kolam takungan banjir baharu, peningkatan kapasiti tiga kolam sedia ada serta penyelarasan kerja pengorekan sungai dan pembuangan kelodak.

“Agensi teknikal berkaitan akan mengenal pasti lokasi yang sesuai di kawasan hulu sungai bagi pembinaan kolam takungan banjir baharu termasuk di Selangor.

“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor akan mengenal pasti tiga kolam sedia ada yang sesuai untuk dinaik taraf bagi meningkatkan kapasiti takungan. Tiga kolam tersebut ialah Kolam Kampung Laksamana, Kolam Sungai Kertas dan kolam di Bukit Lagong,” jelasnya.

Tambah kenyataan itu lagi, JPS Selangor bersama JPS Kuala Lumpur akan menyelaras pengenalpastian sungai di Kuala Lumpur dan Selangor yang memerlukan kerja pengorekan dan pengeluaran kelodak.

“JPS Kuala Lumpur juga akan membantu mengenal pasti tapak khas seluas 30 ekar yang sesuai bagi pembuangan sisa korekan kelodak di Selangor. Pemilihan tapak akan mengambil kira kesesuaian teknikal, status tanah, kaedah pengurusan kelodak serta kesannya terhadap alam sekitar dan kawasan berhampiran.

“Keutamaan kedua-dua pentadbiran adalah untuk mengurangkan risiko banjir, mengukuhkan daya tahan bandar selain mengurangkan keresahan apabila musim hujan, sekaligus meningkatkan kualiti hidup rakyat melalui perancangan yang lebih proaktif, tersusun dan bersepadu,” ujarnya. – UTUSAN

The post Selangor, Kuala Lumpur kerjasama atasi masalah banjir appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved