SHAH ALAM, 29 OGOS: Selangor melancarkan program Dana Pembangunan Ekonomi Wanita (DEW) bagi meningkatkan daya saing usahawan produk kraf tangan seiring perkembangan semasa.
EXCO pembangunan wanita berkata program dengan kerjasama Wanita Berdaya Selangor Sdn Bhd (WBS) dan Khadijah International Waqf (L) Foundation (KIWF) bakal membimbing mereka meningkatkan mutu produk dan strategi pemasaran.
Menurut Anfaal Saari, program berkenaan juga melibatkan sesi mentor mentee, penjualan secara digital, perluasan jaringan perniagaan serta jualan fizikal di galeri Khadijah Artisans di Menara Merdeka 118.

“Kita berharap usahasama ini dapat membuahkan hasil dan membantu golongan wanita negeri mempunyai lebih banyak ruang untuk menjana pendapatan sekali gus mengembangkan industri kraf tangan di Selangor.
“Kerajaan Negeri komited mengembangkan industri kraf tangan Selangor dan meningkatkan potensi pasaran bukan saja dalam negara malah ke peringkat antarabangsa,” katanya selepas menyempurnakan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) program DEW antara WBS dan KIWF.

Sementara itu, Pengerusi KIWF Rohani Mohd Shahir berkata DEW melibatkan program bimbingan selama tujuh bulan dengan 10 usahawan terbaik dari Pusat Wanita Berdaya (PWB) seluruh Selangor akan dipilih.
“Kita ada peringkat saringan termasuklah program ‘pitching’ untuk melihat potensi usahawan yang bakal dilatih mengambil kira pelbagai perkara termasuklah potensi pasaran produk mereka.
“Selepas melalui tempoh bimbingan tujuh bulan usahawan terpilih berpeluang mendapat geran bagi mengembangkan produk mereka ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Program DEW dengan suntikan dana dari beberapa institusi perbankan merupakan lanjutan dan penambahbaikan usaha pemberdayaan sedia ada melalui Pusat Wanita Berdaya (PWB) membuktikan keseriusan kerajaan negeri Selangor dalam usaha memartabatkan ekonomi wanita di Selangor.
Pelaksanaannya juga selaras Matlamat Kedua Dasar Wanita Selangor 2024-2026 iaitu meningkatkan status sosioekonomi dan autonomi wanita yang terpinggir.
The post Selangor lancar Dana Pembangunan Ekonomi Wanita, perkasa usahawan kraf tangan appeared first on Selangorkini.

