Selangor Marathon satukan keluarga, beri ruang anak OKU bersukan

1 Nov 2026 • 4:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Selangor Marathon satukan keluarga, beri ruang anak OKU bersukan

CYBERJAYA, 1 NOV: Aktiviti sukan dan larian dilihat mampu menjadi medium inklusif bagi komuniti orang kurang upaya (OKU) meraikan kebersamaan di samping memberi ruang kepada keluarga mencipta pengalaman bersama.

Pengasas Bikeisable, Wira Sudepja Rabu berkata platform larian amat sesuai dimanfaatkan untuk membawa semangat kebersamaan dengan memberi peluang kepada kanak-kanak Cerebral Palsy dan keluarga mereka menyertai aktiviti bersama masyarakat.

“Platform seperti ini sangat sesuai untuk membawa semangat kebersamaan memandangkan sekitar 70 hingga 80 peratus ahli Bikeisable terdiri daripada kanak-kanak Cerebral Palsy manakala sebahagian daripada mereka terlantar sepenuhnya.

“Bagi ibu bapa atau penjaga, ia juga memberi peluang untuk menggembirakan anak-anak dan mengeratkan hubungan mereka. Saya sendiri membawa anak, Nur Wadihan, ke acara larian, malah pernah membawanya hingga ke Terengganu,” katanya kepada Media Selangor.

Wira Sudepja berkata keterbukaan penganjur acara terhadap penyertaan komuniti OKU ketika ini turut menunjukkan perkembangan positif dalam mewujudkan persekitaran sukan yang lebih inklusif.

Sementara itu, ahli Bikeisable, Salmawati Abdul Latiff berkata komuniti seperti Bikeisable turut memberi sokongan emosi kepada kanak-kanak dan ibu bapa menerusi peluang menyertai pelbagai aktiviti bersama.

Beliau yang mempunyai tiga anak OKU daripada lima anak berkata penglibatan dalam acara sukan juga membantu mengubah persepsi masyarakat terhadap komuniti OKU yang sering dilihat hanya memerlukan simpati dan bantuan.

“Komuniti seperti Bikeisable banyak membantu dari segi emosi, bukan sahaja kepada anak-anak tetapi juga ibu bapa kerana mereka mempunyai peluang untuk menyertai pelbagai acara.

“Pada masa sama, ia membuka mata masyarakat untuk melihat semangat anak-anak OKU. Mereka bukan hanya mahu dikasihani atau menerima bantuan tetapi juga mahu diberi ruang untuk turut serta,” katanya.

Salmawati berkata penerimaan masyarakat Malaysia terhadap penglibatan komuniti OKU dalam acara larian juga semakin baik sekali gus memberi keyakinan kepada keluarga untuk membawa anak-anak menyertai aktiviti di luar rumah.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved