Selangor perkasa komuniti strata menerusi CERIA, C-SMART dan SPARK

17 Sep 2026 • 9:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Selangor perkasa komuniti strata menerusi CERIA, C-SMART dan SPARK

KLANG, 17 SEPT: Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) memperkasa pengurusan serta kesejahteraan komuniti strata menerusi tiga inisiatif utama iaitu Skim CERIA, C-SMART dan Strata People’s Active Rejuvenation Komuniti (SPARK).

EXCO Perumahan dan Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah berkata inisiatif berkenaan memberi tumpuan kepada pembaikan dan penyelenggaraan, pengukuhan tadbir urus serta penglibatan aktif penduduk strata.

Image from: Selangor perkasa komuniti strata menerusi CERIA, C-SMART dan SPARK
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari bersama penerima Skim CERIA sempena majlis Penyerahan Inisiatif Pemerkasaan Komuniti Strata Negeri Selangor Tahun 2026 di Wyndham Acmar, Klang pada 17 September 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Skim CERIA yang memberi tumpuan kepada kerja pembaikan dan penyelenggaraan harta bersama dengan memberi kesan langsung kepada fungsi serta keselamatan bangunan.

“C-SMART memberi pendekatan memperkukuhkan keupayaan Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) melalui Latihan berkaitan dengan tadbir urus, kewangan, penyelenggaraan, penyelesaian konflik serta pematuhan kepada Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757),” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Inisiatif Pemerkasaan Komuniti Strata Negeri Selangor di Wyndham Acmar, Klang, hari ini.

Beliau berkata SPARK yang diperkenalkan sebagai inisiatif baharu tahun ini memberi tumpuan untuk menghidupkan semula ruang bersama di kawasan pangsapuri menerusi penglibatan komuniti.

“Program SPARK merupakan satu insentif baharu Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Pembangunan Bandar Lestari pada tahun 2026 yang memberi tumpuan kepada usaha menghidupkan semula ruang bersama di Kawasan pangsapuri melalui penglibatan komuniti.

"Dan apa yang kita mahu bukan sekadar perubahan fizikal, penduduk tidak seharusnya hanya menjadi penerima tetapi terlibat dalam menentukan bagaimana ruang Bersama boleh diceriakan, dimanfaatkan dan dijaga dengan baik," katanya.

Image from: Selangor perkasa komuniti strata menerusi CERIA, C-SMART dan SPARK
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari melakukan gimik Pelancaran logo baharu Skim CERIA sempena majlis Penyerahan Inisiatif Pemerkasaan Komuniti Strata Negeri Selangor Tahun 2026 di Wyndham Acmar, Klang pada 17 September 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Pada masa sama, beliau berkata pendekatan Rewang Komuniti Strata turut dilaksanakan bagi mendengar sendiri permasalahan penduduk selain merapatkan hubungan antara komuniti, JMB atau MC dengan agensi kerajaan.

“Di lapangan juga kita menerima pelbagai isu iaitu berkaitan dengan bumbung, lif, tangki air, pendawaian, kebersihan dan kemudahan bersama," katanya.

Beliau berharap setiap inisiatif yang diterima dapat dimanfaatkan sebaiknya sebagai pemangkin kepada pengurusan lebih teratur dan penyertaan penduduk yang lebih aktif, sekali gus memperkukuh semangat kejiranan serta mewujudkan persekitaran kediaman yang selamat, selesa dan harmoni.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved