AEON BiG terus perkasa ekosistem halal menerusi Karnival Halal

Business & Finance
23 Aug 2026 • 8:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: AEON BiG terus perkasa ekosistem halal menerusi Karnival Halal

CHERAS: AEON BiG terus memperkukuh komitmen dalam menyokong pembangunan ekosistem halal negara menerusi penganjuran Karnival Halal AEON BiG: Memperkasa Komuniti Halal selama tiga hari yang berakhir hari ini di AEON BiG Tun Hussein Onn.

Ketua Sumber Manusia AEON BiG, Mohd. Rizal Omar berkata, konsep halal tidak seharusnya dilihat sekadar logo pada pembungkusan, sebaliknya merangkumi amanah, kebersihan, keselamatan, kualiti, integriti dan keyakinan pengguna.

Menurutnya, sebagai peruncit yang berdepan secara langsung dengan pengguna setiap hari, AEON BiG melihat tanggungjawab halal sebagai amanah besar yang perlu diterjemahkan sehingga ke peringkat operasi.

“Apa yang berada di rak kami bukan sekadar produk untuk dijual. Ia adalah produk yang dibeli oleh keluarga, disediakan untuk anak-anak, dihidangkan kepada tetamu dan menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian masyarakat.

“Dengan itu, kami percaya bahawa komitmen terhadap halal perlu bermula daripada organisasi dan diterjemahkan sehingga ke peringkat operasi,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian karnival itu di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Jabatan Institut Latihan Halal, Halal Development Corporation (HDC), Ahmad Zulhilmee Hasan dan Pengarah Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Awis Qurni Sazili.

Mohd. Rizal berkata, karnival tersebut menjadi platform untuk memberi kefahaman kepada pelanggan bahawa pensijilan halal melibatkan sistem, proses dan tanggungjawab yang perlu dipatuhi.

Katanya, AEON BiG juga mahu memastikan pilihan produk halal bukan sahaja tersedia, malah mudah ditemui, difahami dan diyakini pengguna.

“Pada masa yang sama, kami berharap karnival ini dapat menjadi ruang untuk memperkenalkan lebih banyak pilihan produk halal kepada pengguna serta membuka peluang kepada pemain industri untuk terus berkembang bersama,” katanya.

Antara acara utama majlis perasmian itu ialah penyerahan Sijil Halal bagi operasi Delica AEON BiG kepada 13 cawangan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Produk Pau dan Dim Sum BiG Value jenama AEON BiG turut disahkan halal oleh Jakim.

Mohd. Rizal berkata, pencapaian itu membuktikan usaha memperkukuh halal bukan sahaja tertumpu kepada produk di rak, malah merangkumi proses penyediaan makanan, pengendalian, kebersihan serta keseluruhan rantaian operasi.

“Pencapaian 13 cawangan Delica ini adalah satu pencapaian penting dalam perjalanan halal syarikat.

“Ia bukan titik penamat, sebaliknya menjadi penanda aras untuk kami terus bergerak ke hadapan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jakim, Muhyidin Aziz @ Saari menyifatkan pencapaian tersebut sebagai langkah positif dalam memperkukuh jaminan halal serta meningkatkan keyakinan pengguna terhadap perkhidmatan makanan yang ditawarkan.

“Pencapaian ini bukanlah sesuatu yang wajar dilihat hanya dari sudut dokumentasi atau pematuhan. Sebaliknya, ia mencerminkan kesungguhan organisasi untuk memastikan prinsip halal diterapkan dalam operasi yang melibatkan penyediaan makanan secara langsung kepada pengguna.

“Dengan pelaksanaan karnival ini juga, ia dapat menyumbang kepada kesedaran dan mendidik masyarakat untuk lebih memahami bahawa halal adalah satu sijil yang dibangunkan secara sistematik dan boleh dipercayai,” katanya. – MINGGUAN

The post AEON BiG terus perkasa ekosistem halal menerusi Karnival Halal appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved